Dua penunggang maut nahas tiga motosikal

Gambar lokasi kejadian yang dikongsi netizen. - Foto Facebook Komuniti Kuantan.
Gambar lokasi kejadian yang dikongsi netizen. - Foto Facebook Komuniti Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Dua penunggang maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi di Jalan Felda Lepar Hilir 1 di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.45 pagi itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Vulcan, Mohd Jamion Mohd Jani, 59, dari Felda Lepar Hilir 1, maut di tempat kejadian.

Turut maut, penunggang motosikal jenis Honda EX5, Muhamad Syaffuan Abdullah, 17, dari Felda Lepar Hilir 2 di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, penunggang sebuah lagi motosikal, Mohammad Fazreen Kamil, 18, dan pembonceng dua buah motosikal terlibat, Muhamad Shahzuan Zamri, 19, dan Muhammad Hafizuddin Kamal Mustafa, 17, cedera.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohd Jamion yang juga peneroka Lepar Hilir 1 menunggang bersendirian dalam perjalanan dari kawasan perkampungan Felda berkenaan menghala ke Felda Lepar Hilir 5.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan dua motosikal dinaiki empat remaja yang bekerja di Sekolah Sukan Gambang di sini.

“Akibat kejadian itu Mohd Jamion dan Muhamad Syaffuan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar menerima rawatan ke hospital sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1984.

“Justeru kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian agar tampil ke balai polis trafik Kuantan bagi membantu siasatan," katanya.