Indonesia ganda usaha cegah jerebu

Lebih 9,000 anggota pasukan tindakan kecemasan termasuk tentera ditempatkan di wilayah yang menghasilkan getah dan minyak sawit utama di Indonesia.
Lebih 9,000 anggota pasukan tindakan kecemasan termasuk tentera ditempatkan di wilayah yang menghasilkan getah dan minyak sawit utama di Indonesia.
A
A
A

JAKARTA - Indonesia menggandakan usaha mencegah kejadian jerebu yang menyelubungi sebahagian besar negara di Asia Tenggara kira-kira empat tahun lalu daripada berulang.

Ia mengambil langkah segera dengan menempatkan lebih 9,000 anggota bomba dan pasukan tindakan kecemasan di wilayah yang menghasilkan getah dan minyak sawit utama di negara itu.

Pihak berkuasa juga telah mengisytiharkan keadaan kecemasan di beberapa wilayah selepas mengesan 84 titik panas.

Kementerian Penyelarasan Pembangunan Manusia dan Kebudayaan menganggarkan 11.8 juta hektar kawasan pertanian di negara itu mengalami musim kering luar biasa pada tahun ini, sekali gus meletakkan 48.5 juta penduduk berdepan risiko.

Situasi itu dikhuatiri akan mengembalikan semula jerebu teruk yang melanda Singapura, beberapa bahagian di Indonesia, Malaysia dan Thailand selama lebih sebulan pada 2015 yang berpunca daripada kebakaran haram untuk membersihkan tanah pertanian.

Sehingga Selasa, lebih 135 titik panas dikesan di Sumatera dan separuh daripadanya dikenal pasti di wilayah Riau yang berpunca daripada kebakaran tanah gambut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Pejabat Kesihatan Riau mengedarkan 10,000 topeng wajah percuma kepada penduduk di Pekanbaru. - Agensi

Artikel Berkaitan: