Gitar Seventeen, dijadikan pelampung ketika tsunami

Jenazah Ninil selamat dikebumikan. - Liputan 6
Jenazah Ninil selamat dikebumikan. - Liputan 6
A
A
A

BANTEN - INDONESIA. Gitar milik kumpulan pop rock terkemuka Indonesia, ‘Seventeen’ antara barang yang digunakan oleh mangsa tsunami, Akhmad Khowarizmi atau Azmi, 10, untuk menyelamatkan diri dari gelombang tsunami melanda pantai Carita.

Menerusi portal Liputan 6, Azmi bersama keluarganya menyaksikan persembahan kumpulan tersebut di kawasan pelancongan itu.

Menurut datuknya, Ashari, 64, keluarga itu berada di hadapan pentas dan tidak sempat melarikan diri.

"Apabila tsunami melanda, mereka tidak sempat lari hingga mengakibatkan, anak, menantu, kedua cucu dihanyutkan air," katanya.

Katanya, cucunya terselamat kerana dia mencapai gitar milik kumpulan terbabit untuk dijadikan pelampung.

"Apabila dihanyutkan gelombang, cucu saya sempat mencapai gitar itu untuk membuatkan dia terapung.

"Cucu perempuan, Farzana Arfa Fahira atau Arfa, 7, juga terselamat kerana dilindungi oleh permaidani pentas," katanya.

Begitu juga dengan menantunya, Akhmad Diyak, berjaya menjadikan dahan pokok sebagai pelampung.

Artikel Berkaitan:

Namun anak perempuan tunggalnya terkorban, Ninil Ukhita Anggra Wardani dan ditemui pada 23 Disember sekitar Tanjung Lesung.

Meskipun sedih kehilangan anaknya tetapi Ashari perlu cekal untuk tidak bersedih agar cucunya juga kuat untuk meneruskan sisa hidup tanpa ibunya.

"Apabila mereka bersama saya, mereka tenang, tetapi ketika mereka bersendirian, kadang-kadang mereka menangis, biasanya cucu akan memeluk ibu mereka ketika pulang dari kerja tetapi kini tidak lagi," katanya.

Pemergian Ninil, 38, yang terkorban dalam tsunami Selat Sunda, meninggalkan seribu kesedihan mendalam buat keluarga itu.

Ninil telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kalirejo, Bangil, Pasuruan pada malam 24 Disember lalu. - Liputan 6