Pas lebih rela jadi pembangkang selama-lamanya

Mohd Amar melawat Pusat Latihan Belia di Medan Usahawan, hari ini.
Mohd Amar melawat Pusat Latihan Belia di Medan Usahawan, hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas lebih rela bertindak sebagai pembangkang daripada menjadi kerajaan yang penuh dengan janji palsu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pemimpin PH umpama tidak fikir secara mendalam ketika membuat manifesto, sedangkan ia boleh menjadi punca kejatuhan mereka.

Menurutnya, rakyat mengambil masa selama 60 tahun untuk menjatuhkan BN namun tidak sampai enam bulan, rakyat sudah mencemuh kerajaan baharu PH.

“Biarpun bersendirian, Pas lebih kuat sebab Pas ada 18 kerusi malah menguasai dua negeri.

“Berbanding Bersatu, walaupun bergabung dengan PH, mereka sekadar menang 11 kerusi,” katanya, selepas Majlis Letak Kerja dan Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Medan Usahawan Kota Bharu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Pas dengan mengatakan parti itu cemburu dengan kejayaan PH sehingga melabel kerajaan baharu ketika ini hanya mampu bertahan lima tahun sahaja di Putrajaya.

Beliau berkata, dakwaan Pas kononnya tidak wujud persefahaman dalam kalangan komponen parti PH jelas menunjukkan sikap mereka yang akan kekal sebagai pembangkang sampai bila-bila.

Artikel Berkaitan: