Lelaki Bangladesh cuba sogok polis RM50 ditahan

Lelaki warga Bangladesh yang ditahan serta wang RM50 yang digunakan suspek dalam cubaan menyogok anggota polis sebagai dorongan untuknya melepaskan diri kerana gagal mengemukakan lesen memandu.
Lelaki warga Bangladesh yang ditahan serta wang RM50 yang digunakan suspek dalam cubaan menyogok anggota polis sebagai dorongan untuknya melepaskan diri kerana gagal mengemukakan lesen memandu.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh selepas cuba memberi rasuah kepada polis sebagai dorongan untuknya melepaskan diri kerana gagal mengemukakan lesen memandu.

Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dalam kejadian pada petang 18 Julai lalu di Jalan PJS8/9 kawasan Sungei Way di sini, suspek yang menunggang motosikal ditahan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis telah meminta suspek menyerahkan dokumen pengenalan diri dan semasa pemeriksaan dijalankan suspek cuba untuk menyogok polis dengan wang tunai bernilai RM50.

"Duit itu dipercayai sebagai dorongan supaya dirinya dilepaskan atas kesalahan tiada lesen memandu.

"Polis telah memberi amaran sebanyak tiga kali kepada suspek supaya tidak menyogok anggota polis yang sedang menjalankan tugas tetapi tidak diendahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, susulan itu, polis menahan suspek dan merampas wang tunai RM50 serta motosikal dinaikinya sebelum dibawa ke Balai Polis Sungei Way untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya.

Artikel Berkaitan: