PM India tampil dalam episod Man vs Wild

PM Modi muncul dalam satu episod khas siri Man vs Wild bersama hos, Bear Grylls. -Foto Discovery Channel
PM Modi muncul dalam satu episod khas siri Man vs Wild bersama hos, Bear Grylls. -Foto Discovery Channel
A
A
A

NEW DELHI - Perdana Menteri India, Narendra Modi membuat kemunculan istimewa dalam sebuah episod khas siri televisyen popular, Man vs Wild.

Episod khas siri Man vs Wild yang akan disiarkan menerusi Discovery Channel itu akan menampilkan Modi bersama hos, Bear Grylls mengharungi 'cabaran epik' di hutan India.

Perkongsian 'teaser' episod istimewa yang akan disiarkan pada jam 9 malam, 12 Ogos depan di laman Twitter Grylls yang mempunyai lebih 1.3 juta pengikut menjadi tular dengan pantas.

“Penduduk di 180 negara akan dapat melihat sisi PM @narendramodi yang belum pernah dilihat di saat beliau mengharungi hutan India bagi memupuk kesedaran tentang pemeliharaan haiwan dan perubahan alam.Tonton Man Vs Wild bersama PM Modi @DiscoveryIN pada 12 Ogos jam 9 malam. #PMModionDiscovery,” tulis Grylls.

Bagi Modi pula, rancangan tersebut merupakan peluang terbaik untuk menunjukkan kepada dunia warisan alam India selain menekankan kepentingan pemeliharaan alam semula jadi.

Penggambaran episod khas berkenaan dijalankan pada 14 Februari lalu di Taman Negara Jim Corbett yang merupakan taman negara tertua di India.

Ini merupakan kali kedua seorang pemimpin dunia menyertai Grylls dalam rancangan terbabit selepas penampilan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam episod khas di Alaska pada tahun 2015. - Agensi

Artikel Berkaitan: