Ahli politik lantang perlu miliki senjata perlindungan

Badzli (kiri) turut membacakan doa memohon kesembuhan kepada Kamarudin.
Badzli (kiri) turut membacakan doa memohon kesembuhan kepada Kamarudin.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Negeri Sembilan mencadangkan satu usul yang membenarkan ahli politik yang lantang bersuara memiliki senjata sebagai perlindungan.

Cadangan tersebut disuarakan oleh Ketua Penerangannya, Muhamad Badzli Abu Bakar berikutan kejadian yang menimpa Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Kamarudin Abdullah yang cedera parah ditetak dan dikelar di dalam sebuah kedai kopi di Jalan Tengku Chik, di sini kelmarin.

Beliau menerima maklumat mengenai kejadian tersebut semalam dan mengambil keputusan untuk melawat Datuk Kamarudin yang kini semakin stabil selepas menjalani pembedahan.

Muhamad Badzli berkata, pemimpin yang lantang bersuara mempertahankan rakyat seperti Datuk Kamarudin sepatutnya perlu memiliki pelindungan sendiri, selain daripada mempunyai pengawal peribadi dan sebagainya.

“Mungkin ahli politik boleh dibenarkan menggunakan senjata untuk keselamatan diri mengikut kesesuaian dan keperluan. Orang politik merupakan mereka yang berisiko tinggi berdepan jenayah terutamanya pada zaman kini.

“Malah Anti Berita Tidak Benar juga perlu dikekalkan bagi memastikan tidak berlaku tohmahan, fitnah yang membolehkan berlakunya kejadian jenayah yang berpunca daripada iri hati,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa sejam melawat veteran UMNO itu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini hari ini.

Turut menemani, anak lelaki Datuk Kamarudin, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Veteran UMNO Kelantan cedera dikelar, ditetak

Dalam pada itu, Shahrul Nasrun ketika ditemui turut berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku, selain menafikan bapanya mempunyai masalah dengan mana-mana pihak.

“Setahu kami, bapa tiada musuh dengan sesiapa, malah sentiasa membantu mereka yang memerlukan, selain peramah dan mudah didekati semua pihak. Tidak mungkin juga ia melibatkan permusuhan dalaman, terutamanya dalam dunia politik.

“Apa pun, saya berharap pihak polis dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dalam menyiasat kes ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO iaitu Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan juga dari Pas, Datuk Takiyudin Hassan yang sentiasa bertanya khabar,” katanya.