Penganggur baling botol susu pada isteri dijel

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang penganggur membaling botol susu ke arah isterinya sehingga menyebabkan kecederaan membawa padah apabila dia dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Keputusan itu dibuat Majistret, Erry Shahriman Nor Aripin terhadap Hezri Kamarudin selepas mensabitkan pengakuan bersalah lelaki itu.

Hezri, 39, mengaku dengan sengaja telah menyebabkan kesakitan dan kecederaan terhadap isterinya, Farawahida Mohd Rasidi,36, di rumah mereka Jalan Kobis Bunga 24/29 Seksyen 24 Shah Alam, jam 1 pagi pada 24 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Dalam hujahan pemberatan hukuman, Khairul Aisamuddin memohon hukuman berat agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Sementara itu, Hezri yang merupakan bapa kepada tiga anak memohon hukuman ringan atas alasan telah insaf.

"Saya masih lagi sayang pada isteri. Saya tidak sengaja sebab dia balik jam 1 pagi saya tanya isteri tak jawab pergi mana," katanya.

Berdasarkan fakta kes, sehari sebelum kejadian, Farawahida yang berada di tempat kerja telah menerima pesanan ringkas melalui WhatsApp daripada tertuduh yang menyatakan: "Aku tunggu kau kat luar, jap (sekejap) lagi aku rembat kepala kau dengan kayu. Kau tengoklah,".

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudiannya menyatakan untuk membuat laporan polis dan tertuduh terus memaki hamun.

Kerana bimbang keselamatannya, Farawahida pergi ke rumah rakannya untuk mencari perlindungan sebelum pulang ke rumah sekitar jam 12 pagi.

Jam 1 pagi, tertuduh melihat isterinya di bilik tidur dan berlaku pertengkaran apabila pengadu hanya berdiam diri ketika disoal suaminya.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh berang dan mencapai botol susu anak mereka yang berusia 10 bulan dan membaling ke arah pengadu sehingga menyebabkan kecederaan di dahi.