Dua bot nelayan langgar syarat sah lesen ditahan

Bot nelayan yang ditahan dalam Operasi Jaksa dilakukan APMM Zon Maritim Mersing semalam dan kelmarin.
Bot nelayan yang ditahan dalam Operasi Jaksa dilakukan APMM Zon Maritim Mersing semalam dan kelmarin.
A
A
A

MERSING - Dua bot nelayan disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing dalam Operasi Jaksa pada semalam dan kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, dalam operasi petang semalam sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan empat awak-awak warganegara tempatan dan seorang warganegara asing ditahan di perairan Endau berdekatan Tanjung Kempit.

"Kesemua mereka berusia lingkungan umur 27 hingga 44 tahun ditahan bot maritim Kilat 14 yang berjaya mengesan bot nelayan tersebut di kedudukan lebih kurang 6.3 Batu Nautika Utara Tanjung Kempit kira-kira jam 6.00 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan berkenaan mendapati bot tersebut melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu tidak diusahakan sendiri oleh empunya vesel dan menggaji pekerja asing tanpa surat kebenaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebuah lagi bot nelayan tempatan berjaya ditahan ketika rondaan di laut dalam operasi yang sama dilaksanakan berdekatan Tanjung Penyabong petang kelmarin.

Menurutnya, operasi yang dijalankan bot Penggalang 43 berjaya mengesan bot nelayan tersebut di kedudukan lebih kurang 7 Batu Nautika Timur Tanjung Penyabong pada jam kira-kira jam 6.00 petang.

"Hasil pemeriksaan, bot nelayan tempatan tersebut didapati melakukan kesalahan iaitu vesel tidak diusahakan sendiri oleh empunya vesel dan membawa bahan bakar di atas dek.

"Bot nelayan tempatan tersebut yang dikendalikan oleh lima awak-awak warganegara tempatan termasuk tekong berusia dalam lingkungan 25 hingga 41 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua tahanan dalam dua operasi berkenaan dibawa ke Jeti APMM Pos Tanjung Gemok bagi tujuan siasatan.

"Kes akan disiasat mengikut seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen," katanya.

Tambahnya, APMM turut mengingatkan orang ramai agar melaporkan sebarang kegiatan dan aktiviti di laut yang menyalahi undang-undang negara di pejabat APMM yang berdekatan.

"Kerjasama daripada semua pihak termasuk persatuan nelayan kawasan dan komuniti nelayan serta semua pengusaha bot nelayan amat penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan perairan negara Malaysia pada akan datang.

"APMM amat mengalukan-alukan sebarang maklumat pencerobohan dengan cepat dan tepat supaya tindakan segera dan lebih berkesan dapat diambil.

"Sebarang aduan jenayah maritim dan kecemasan di laut hubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 khususnya bagi kejadian yang berlaku di perairan Johor," katanya.