Angin Dewa Muda rangkul Anugerah Emas pertandingan teater

Pemenang Anugerah Emas yang akan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan.
Pemenang Anugerah Emas yang akan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Produksi Angin Dewa Muda berjaya mengungguli Anugerah Utama dan Anugerah Emas pada Pertandingan Teater Peringkat Sekolah Menengah Negeri Selangor 2019 di Black Box@SACC Mall Rabu lalu.

Kemenangan menerusi pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu membolehkan pasukan tersebut mewakili Selangor ke Terengganu untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid berkata, sebanyak enam pasukan terdiri daripada 130 pelajar sekolah menengah sekitar Selangor bertanding bagi merebut anugerah utama itu.

Menurutnya, pertandingan itu membantu peserta memperkasa bahasa kebangsaan selain mempelajari kaedah berkomunikasi dengan lebih baik.

“Ia adalah kaedah pembelajaran menyeronokkan dengan suntikan elemen teater bagi mempamerkan unsur nilai-nilai murni dan memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian.

“Kerjasama terjalin antara PREC dan JPNS ini dapat wujudkan suasana kondusif meningkatkan pencapaian dan kejayaan selain membentuk modal insan yang berkualiti dalam kalangan peserta terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Kokurikulum JPNS, Sazali Baharudin berkata, keberanian ditonjol peserta tidak mungkin ada pada pelajar lain.

Katanya, penglibatan pelajar dalam pertandingan itu menyumbang 10 peratus markah dalam sijil kokurikulum sebelum mereka menyambung pelajaran ke menara gading.

Artikel Berkaitan:

“Kami berterima kasih kepada PREC atas tawaran kerjasama dengan memberikan ruang, Black Box@SACC Mall ini sebagai pentas teater pelajar menonjolkan bakat untuk tontonan awam,” katanya.