Fasiliti perubatan TH-KKM rawat 7,816 pesakit luar

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

MAKKAH - Fasiliti perubatan yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima dan merawat 7,816 pesakit luar sejak mula beroperasi pada 4 Julai lepas sehingga Selasa lepas.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata daripada jumlah itu sebanyak 70 peratus dirawat di fasiliti kesihatan di sini iaitu Pusat Rawatan TH Syisyah, Klinik Kecemasan Abraj Janadriyah dan kinik-klinik di maktab penginapan.

"Manakala 30 peratus lagi pesakit luar kita terima di Madinah antaranya di Pusat Rawatan TH Al Jaffery dan klinik maktab di sana serta fasiliti kesihatan lain di Jeddah.

"Daripada jumlah pesakit luar kita terima juga 35 peratus adalah berkaitan masalah pernafasan paru-paru, 20 peratus melibatkan masalah kulit, 12 peratus masalah otot serta tulang dan selebihnya masalah kesihatan lain," katanya pada sidang media di Pusat Rawatan TH Syisyah di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Dr Mohammad Faid berkata seramai 139 jemaah haji telah dimasukkan ke wad rawatan TH dan daripada jumlah itu sebanyak 23 peratus melibatkan masalah pernafasan paru-paru, 15 peratus masalah jantung manakala selebihnya kes-kes kecil seperti jangkitan kulit, mental dan patah tulang.

"Sebanyak 23 kes telah dirujuk ke hospital Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan lanjut ini termasuk kes melibatkan pembedahan jantung, rawatan untuk pendarahan perut dan usus juga masalah buah pinggang.

"Di Madinah seramai empat pesakit masih dirawat di hospital Arab Saudi dan dua pesakit di Pusat Rawatan TH Al Jaffery, kita sedang dalam proses bawa semua enam pesakit ini ke Makkah. Di Makkah ada enam pesakit di hospital Arab Saudi, semua pesakit dalam keadaan stadbil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata secara keseluruhan pusat rawatan TH mempunyai 267 katil yang mana 197 katil di Pusat Rawatan TH Syisyah, 37 katil di Pusat Rawatan TH Al Jaffery, dan 33 katil di klinik Kecemasan Abraj Janadriyah. -Bernama