Untuk apa sorok dia lama-lama, ibu rayu pulangkan anak

Muhammad Zahiruddin dilaporkan hilang sejak 15 April lalu dan masih belum ditemui.
Muhammad Zahiruddin dilaporkan hilang sejak 15 April lalu dan masih belum ditemui.
A
A
A

KAJANG - "Saya percaya anak saya hidup lagi. Siapa yang ambil Zahir, pulangkanlah dia," rayu Sainih Sunding, 46, selepas 103 hari anaknya hilang.

Dalam nada sebak, Sainih berkata, buat masa ini dia tidak menerima sebarang perkembangan baru tentang kehilangan anaknya itu.

"Itu yang buat saya sebak.

"Saya ada juga minta bantuan dengan ustaz-ustaz sebagai inisiatif usaha cari Zahir namun setakat ini tidak ada petunjuk lagi selain dibantu ahli keluarga serta saudara-mara lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, dia sentiasa berharap dan berdoa agar anaknya itu dapat pulang dalam keadaan sempurna.

"Moga orang yang sembunyikan Zahir pulangkan dia semula.

"Untuk apa sorokkannya lama-lama. Saya doa banyak-banyak agar Zahir dapat pulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi berkata, siasatan dan usaha mengesan Zahir masih dijalankan pihaknya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra, Bangi untuk bermain bersama rakannya kira-kira jam 8 pagi 15 April lalu.