Kertas cadangan elaun bomba sudah diserah kepada Agong

Zuraida (tengah) menerima cenderahati daripada Ahmad Suaidi pada lawatan kerjanya ke MBI hari ini.
Zuraida (tengah) menerima cenderahati daripada Ahmad Suaidi pada lawatan kerjanya ke MBI hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyerahkan kertas cadangan mengenai elaun kritikal anggota bomba kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya tidak berlengah dalam melaksanakan titah itu selepas baginda menzahirkan keprihatinan dalam isu pemberian elaun RM200 yang kini masih belum dimuktamadkan.

"Saya sudah cuba sedaya upaya di peringkat Kabinet dan oleh kerana birokrasi kerajaan yang ada sebelum meluluskannya, perlu melalui pelbagai agensi iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam dan lain-lain secara menyeluruh.

"Saya minta keprihatinan itu kerana kerja bomba ini lain dari yang lain. Apabila baginda meminta satu kertas ringkas, saya tidak boleh tunggu lagi. Saya sudah serahkannya semalam. Pemberian elaun ini harus dipercepatkan," katanya ketika ditemui pada lawatan kerjanya ke Majlis Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menurutnya, beliau mengharapkan agar elaun itu dapat diluluskan dalam tempoh terdekat.

"Kalau Yang di-Pertuan Agong dapat memberikan sedikit kata-kata kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), ia akan dapat diluluskan tahun ini, saya amat berbesar hati," katanya.

Pada sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, Sabtu lalu, Zuraida memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan kertas cadangan ringkas mengenai elaun itu dibentangkan kepada baginda berikutan ia masih belum diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Pemberian insentif elaun khas itu bakal memberi manfaat kepada seramai 14,000 anggota bomba seluruh negara.