PKR Pahang sokong Anwar

Fuziah merasmikan program Global Village Anjuran AIESEC Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan UMP Holding hari ini.
Fuziah merasmikan program Global Village Anjuran AIESEC Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan UMP Holding hari ini.
A
A
A

KUANTAN - PKR Pahang memberi sokongan penuh tanpa berbelah bagi kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui parti tersebut.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Fuziah Salleh berkata, sebanyak 11 daripada 14 ketua cabang PKR negeri itu akan menyatakan sokongan terhadap pimpinan nombor satu parti terbabit.

Menurutnya,bagaimanapun kenyataan rasmi berhubung sokongan kepada presiden itu akan dikeluarkan MPN PKR negeri hari ini.

"Proses mengumpul tandatangan sudah dijalankan sejak malam tadi dan kenyataan rasmi mengenai pendirian itu akan dikeluarkan petang ini.

“Saya jangkakan antara 10 atau 11 daripada 14 ketua cabang PKR di negeri akan menyokong presiden parti serta akan menandatangani petisyen berhubung sokongan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Global Village Anjuran AIESEC Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan UMP Holding hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Sebelum ini, khabar angin mendakwa berlaku perpecahan dalam parti itu susulan penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, pada Jumaat lalu, lima daripada enam Pengerusi PKR negeri mengadakan sidang media bersama di ibu negara bagi menyatakan sokongan penuh mereka terhadap Anwar dan menubuhkan Majlis Pengerusi Pimpinan PKR negeri.

Mereka ialah Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi PKR Melaka, Halim Bachik; Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan Pengerusi PKR Kelantan, Mohamad Supardi Md Noor.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Perlis, Amran Kamarudin turut menyatakan sokongan kepada Anwar setelah tidak hadir pada sidang media berkenaan.

Dalam perkembangan itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Timbalan PRK, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu keluar PKR.

Fuziah berkata, soalan itu wajar ditanyakan kepada Azmin kerana ia berkaitan isu antara pemimpin utama PKR ketika ini.

“Tanya Azmin bukan tanya saya,” katanya ringkas.