Hina Nabi: Pas kecewa pemimpin Islam PH berdiam diri

Masyarakat setempat hadir bersama Pemuda Pas dan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa malam tadi.
Masyarakat setempat hadir bersama Pemuda Pas dan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa malam tadi.
A
A
A

HULU SELANGOR - Pas kecewa dengan sikap segelintir pemimpin Islam Pakatan Harapan (PH) yang mengambil sikap berdiam diri terhadap isu penghinaan Nabi Muhammad SAW di media sosial.

Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, situasi itu menunjukkan pemimpin berkenaan cuba menjaga hati dan takut kepada rakan mereka terutama DAP.

Menurutnya, isu tersebut tidak mempunyai kaitan dengan politik sebaliknya melibatkan umat Islam kerana menyentuh sensitiviti agama.

"Sangat menyedihkan kerana ada pemimpin Islam dalam PH bersikap sedemikian, seolah-olah mereka langsung tidak ada rasa bersalah.

"Seluruh negara sekarang yang buat laporan polis adalah di kalangan Pas dan UMNO. Kami tak tahu mengapa mereka (pemimpin Islam PH) berdiam diri sedangkan ini isu umat Islam.

"Seharusnya mereka buktikan jika mereka betul-betul mengatakan Rahmatan Lil Alamin, mereka sepatutnya bersama-sama bagi memastikan individu yang menghina Nabi Muhammad ditangkap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama Pemuda Pas dan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor membuat laporan berhubung isu penghinaan Nabi Muhammad itu di Balai Polis Bukit Sentosa malam tadi.

Mohd Hasnizan berkata, beliau yakin tidak semua pemimpin Islam dalam PH bersikap sedemikian, namun segelintirnya terpaksa akur dengan pucuk pimpinan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, umat Islam wajib mempertahankan Nabi Muhammad sekiranya baginda dihina oleh sesiapa sahaja.

"Dalam isu ini kuasa ada di tangan pihak polis dan kita berusaha dengan membuat laporan polis supaya tindakan diambil terhadap inividu terbabit," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda Pas Kawasan Hulu Selangor, Amri Abdullah Sani berkata, laporan polis dibuat terhadap pengendali akaun Facebook bernama Wendy Loong yang menyiarkan satu gambar bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam dalam sebuah kumpulan Facebook bernama Kiub Batu Itu Berhala.

Menurutnya, siaran gambar terbabit berbaur sensitif, bersifat provokasi dan tidak menghormati agama serta umat Islam.

"Perbuatan tersebut boleh menimbulkan perasaan benci dan ketegangan kaum serta agama di negara ini," katanya.