Tak timbul isu Azmin masuk Bersatu: Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SABAK BERNAM - Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari menganggap tidak timbul isu Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan lain PKR meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu.

Amirudin berkata, sebahagian besar daripada pimpinan utama PKR pada pemilihan parti lalu adalah majoriti daripada pasukan Mohamed Azmin

"Setahu saya Mohamed Azmin menang dengan majoriti besar selaku Timbalan Presiden PKR.

ARTIKEL BERKAITAN:

Setiausaha politik nafi Azmin akan tinggalkan PKR

Video intim: Dalang, pihak terlibat perlu dikenakan tindakan tegas

"Sebagai majoriti, tidak ada isu beliau (Mohamed Azmin) nak keluar parti," kata Menteri Besar Selangor itu pada sidang akhbar selepas Program Selangkah ke Universiti di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan parti yang meminta beliau memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin PKR, Amirudin memberitahu, beliau tidak mahu mengulas lanjut perkara itu kerana belum menerima sebarang makluman tentang perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya baru dengar malam semalam. Kalau surat pun belum datang tak boleh beri maklum balas.

"Kalau surat dalam bentuk pantun, saya jawab dalam pantun. Kalau surat itu datang ajak main bola, saya main bola.

"Saya tunggulah surat itu hendak cerita apa. Selagi surat belum sampai, tak payah buat spekulasilah," katanya.

Bagaimanapun Amirudin menegaskan sebagai ahli parti, beliau cuba memenuhi apa jua tanggungjawab dikehendaki.

Mengulas mengenai kenyataan beliau memberi bayangan seolah-olah tahu siapa dalang kepada penyebaran video intim mirip seorang menteri, Amirudin berkata, sebenarnya ramai tidak memahami kenyataan terbabit.

"Lain kali datanglah program. Tengoklah (dengarlah) apa yang saya sebut.

"Bila saya sebut mereka itu ramai. Maknanya ada dalam kalangan sebahagian ahli anggota PKR saya kenal 20 tahun.

"Kita melalui pengalaman pahit bersama-sama dan menempuh rintangan suka duka, tetapi bila kes ini berjangkit kepada Mohamed Azmin, saya sedih tengok ada mereka buat tanggapan Mohamed Azmin pelaku," katanya.

Amirudin menegaskan, dalam kenyataannya, beliau tidak menyebut nama mana-mana pihak.

"Cuak sangat kenapa? Tak apalah kalau nak minta penjelasan, saya jelaskan," katanya.