Isu dalaman PKR tak jejas pentadbiran negara: Wan Azizah

 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Perasmian Festival Kesenian & Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) di Auditorium Seri Cempaka Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ) hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Perasmian Festival Kesenian & Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) di Auditorium Seri Cempaka Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ) hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengurusan pentadbiran negara tidak tergugat dengan masalah politik dalaman yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.

Beliau berkata, berbeza pandangan adalah lumrah dalam politik namun tetap bersatu dalam hal membabitkan pemulihan negara.

"Parti politik ini memang begitu, tidak semua akan sama pandangan, tapi kita bersatu. Dalam soal (pentadbiran) negara pula, tidak ada apa-apa yang tergugat, apa yang kita mahu ada kesatuan untuk memulihkan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (Piiacuf) 2019 di sini, hari ini.

Beliau mengulas sama ada pertembungan antara pasukan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu video intim boleh menjejaskan pentadbiran negara.

Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, turut menegaskan bahawa tidak timbul isu dua kem dalam PKR kerana anggota parti tetap memberi sepenuh sokongan kepada presiden parti.

Berhubung gesaan ahli parti yang mahu Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak dikenakan tindakan disiplin ekoran membuat tuduhan jelek kepada Mohamed Azmin, Dr Wan Azizah berkata perkara itu akan diteliti Lembaga Disiplin Parti.

Semalam, Lembaga Disiplin PKR memaklumkan akan memanggil beberapa individu termasuk Farhash bagi membuat penjelasan berhubung ungkapan jelek yang dibuatnya terhadap Mohamed Azmin sejurus dibebaskan dari tahanan polis pada Selasa.- Bernama

Artikel Berkaitan: