Pesta liar: Pelakon wanita, 17 individu bebas dengan jaminan polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelakon wanita serta 17 lagi individu yang ditahan dalam serbuan pesta liar di sebuah kondominium mewah di Bukit Ceylon di sini pada Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata pihaknya menahan 11 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi kira-kira 12.30 malam pada 19 Disember lepas.

"Daripada jumlah itu, 18 daripada mereka dibebaskan, sementara seorang lagi dituduh di Mahkamah Jalan Duta semalam," katanya, hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit dituduh mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 28 tahun menganjur pesta itu serta dipercayai membiayai semua perbelanjaan termasuk pembelian bekalan dadah.

Dilaporkan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 11 daripada mereka positif dadah manakala pelakon wanita berusia lingkungan 40-an serta tujuh lagi yang lain didapati bebas daripada penyalahgunaan dadah.- Bernama

Artikel Berkaitan: