Kes bunuh suami isteri: Ada kesan tikaman, kelar

Polis membawa keluar mayat kedua-dua suami isteri dalam kejadian malam tadi.
Polis membawa keluar mayat kedua-dua suami isteri dalam kejadian malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Terdapat kesan tikaman dan kelar pada mayat suami isteri warga emas yang ditemukan mati dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Desa Melati di sini, malam tadi.

Mayat Tan Kim Joo, 73, ditemui di bahagian dapur dan isterinya Ng Chong Hwa, 67, di dalam sebuah bilik stor di tingkat bawah berhampiran dapur ketika bomba memadam kebakaran jam 9. 30 malam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, Kim Joo merupakan pesara jurutera swasta didapati mengalami luka pada pergelangan tangan kiri, dahi kanan dan bawah lengan tangan kanan manakala Ng, pesara guru mengalami dua kesan tikaman pada dada serta luka di lengan tangan kiri.

"Mangsa lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap di lantai manakala mayat wanita ditemui di bahagian stor di sebelah kiri dapur dalam keadaan tersandar berdekatan almari kayu.

"Apabila bomba melihat ada kesan luka, mayat mangsa tidak dialihkan dan tidak dibawa keluar sebelum memaklumkan pihak polis," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut polis di ruang dapur mendapati terdapat kesan darah di lantai dapur dan di lantai bahagian stor rumah.

Beliau berkata, turut ditemui ialah dua kotak mancis di hadapan pintu masuk stor tersebut.

"Bomba yang tiba di lokasi juga memberitahu sebaik sampai di lokasi bagi operasi memadam kebakaran, pintu dapur rumah mangsa tidak berkunci.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat suami isteri ditemui dalam keadaan berlumuran darah