Elak beri kenyataan beremosi: Azmizam

 Azmizam Zaman Huri
Azmizam Zaman Huri
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bertenang ketika membuat sebarang kenyataan, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, Azmizam Zaman Huri.

Menurut beliau, kenyataan dibuat dalam keadaan beremosi boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Tuduhan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak terhadap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dibuat dalam keadaan beremosi.

“Bila dalam keadaan ini (emosi), macam-macam benda boleh keluar tanpa kita sedar. Jadi, sebagai pemimpin, kita perlu bertenang, jangan buat sebarang kenyataan bila sedang beremosi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Farhash Wafa yang juga merupakan Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaungkan perkataan ‘Azmin semburit’ sewaktu mengakhiri ucapannya di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi semalam.

Azmizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang berkata, kenyataan Farhash bertentangan dengan seruan Anwar sewaktu Pemukiman PKR di Port Dickson minggu lalu supaya mengukuhkan disiplin dan perpaduan parti.

“Cukup-cukuplah, ikut sahaja saranan presiden kita. Masalah rakyat dan isu masa depan negara lebih penting daripada hal ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha turut menggesa parti itu mengambil tindakan disiplin ke atas Farhash Wafa kerana mengeluarkan tuduhan terbuka ke atas Mohamed Azmin Ali di khalayak ramai semalam.

Artikel Berkaitan: