Kes ‘Awang Besol’ pertama kali berlaku di Malaysia

 Abdul Kadir Abu Hashim
Abdul Kadir Abu Hashim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes serangan virus canine distemper yang berlaku ke atas harimau jantan ‘Awang Besol’ yang ditangkap di Kampung Besol di Bukit Besi, Dungun Jumaat lalu pertama kali berlaku di Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Kes ini kali pertama berlaku di negara kita tetapi di Tanzania, sebanyak 30 peratus daripada populasi singa di negara itu mengalami penyakit ini.

“Kita masih mengenal pasti apakah punca sebenar yang berlaku terhadap 'Awang Besol',” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, lazimnya serangan virus canine distemper dibawa oleh kucing dan anjing domestik.

Katanya, virus tersebut boleh merebak kepada haiwan lain dan akan menyerang otak, sekali gus menyebabkan kecelaruan minda hingga sukar membuat perbezaan.

“Dalam kes 'Awang Besol', kita tidak pasti sama ada harimau ini membaham kucing atau anjing yang terkena virus tersebut atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, populasi Harimau Malaya hari ini berada pada tahap membimbangkan kerana jumlah spesies itu dilaporkan hanya kurang daripada 200 ekor di seluruh Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya tiada tindakan drastik diambil bagi mengatasi masalah ini, dianggarkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi Malaysia akan kehilangan Harimau Malaya buat selama-lamanya,” katanya.