Adegan pesakit tak masuk akal, ini ulasan doktor

Dr Amirul Amzar (Gambar kecil, antara babak dalam satu drama yang menjadi bahan gelak penonton.) - FOTO/SUMBER YOUTUBE SOUTHERN CRESCENT MALAYSIA
Dr Amirul Amzar (Gambar kecil, antara babak dalam satu drama yang menjadi bahan gelak penonton.) - FOTO/SUMBER YOUTUBE SOUTHERN CRESCENT MALAYSIA
A
A
A

ADEGAN melibatkan situasi pesakit dalam drama dan filem tempatan sering menjadi bahan jenaka di kalangan netizen. Ia ekoran segelintir pemain industri seolah - olah mengambil mudah karya yang ingin dipertonton sehingga menjadi ejekan.

Selain penggunaan alat perubatan yang salah dan tidak kena tempat, dialog dituturkan oleh doktor juga menimbulkan persoalan daripada penonton.

Malah, ada membandingkan drama keluaran tempatan dengan karya dari luar negara yang mana mereka cukup teliti agar babak di hospital bukan sahaja realistik namun dapat memberi ilmu kepada yang menonton.

Terkini, menerusi Youtube Southern Crescent Malaysia memuat naik satu video yang berjudul 'Reaksi doktor, Babak drama dan filem melayu'.

Menerusi video itu, ia memaparkan tiga pengamal perubatan iaitu Dr Liyana Dhamirah dari PrimaNOra Medical Centre, Dr Abd Shukor Mohd Hashim (KPJ Seremban) dan Dr Amirul Amzar (Medical Mythbusters Malaysia).

Sepanjang video berkenaan, mereka dipertontonkan babak-babak dalam hospital yang disiarkan menerusi drama atau filem tempatan sebelum membuat ulasan dan penerangan.

Antara dalam satu babak yang dipertontonkan, apabila pesakit memakai tiub tapi boleh bercakap, Dr Liyana Dhamirah berkata, perkara itu tak sepatutnya berlaku.

"kalau kita tengok klip ini, perempuan ini sebenarnya memerlukan mesin connected masuk dalam mulut, tiub dan sebagainya untuk dia bernafas.

Artikel Berkaitan:

"Tapi yang peliknya, dia boleh bercakap," katanya.

Perkara itu turut diakui oleh Dr Abd Shukor dan menyifatkan babak berkenaan sebagai tidak logik kerana sepatutnya tidak boleh bercakap.

Sejak ia dimuat naik ia telah ditonton lebih 305, 505 ribu tontonan dan lebih 1,773 komen.

Dalam pada itu, ketiga-tiga doktor tersebut turut memberikan pandangan dan juga cadangan mereka agar drama dan filem yang dihasil releven.

Dr Abd Shukor dan Dr Liyana Dhamirah - FOTO/SUMBER YOUTUBE SOUTHERN CRESCENT MALAYSIA
Dr Abd Shukor dan Dr Liyana Dhamirah - FOTO/SUMBER YOUTUBE SOUTHERN CRESCENT MALAYSIA

Dr Amirul Amzar berkata, bukan semua babak yang dipaparkan itu buruk tetapi perlu ada banyak penambahbaikan dan dapatkan nasihat daripada kakitangan kesihatan dahulu.

"Disarankan sebelum membuat babak melibatkan pesakit, dapatkan nasihat dari pakar perubatan dahulu untuk mendapat babak yang realistik," katanya.

Dr Liyana Dhamirah pula mengakui ada yang releven dalam babak-babak yang dipaparkan.

"Ada yang kita tahu dia buat 'homework', dia bertanya kepada doktor ke atau siapa-siapa dalam bidang perubatan. Ada yang boleh diterima.

"Cuma kadang kita terkejut, kenapa jadi macam ini. Ia memberi satu tanggapan yang salah kepada masyarakat. Keadaan ini (mungkin) menyebabkan ramai akan anggap doktor tidak membuat kerja betul (kerana berbeza dengan apa yang dilihat di kaca televisyan atau filem berbanding realiti)," katanya.

Selain itu, Dr Abd Shukor pula berpendapat orang ramai kini sudah mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan perubatan.

"Saya syorkan, produser-produser filem atau drama Melayu ini, cari doktor, kalau kecederaan itu di bahagian otak, cari doktor bahagian otak. Kalau kecederaan itu melibatkan tulang, cari otopedik misalnya.

"Jadi kena buat 'research' yang lebih sebelum membuat pengambaran berkaitan perubatan. Satu supaya, ia boleh menimbulkan kesedaran kepada masyarakat umum bahawa pentingnya mereka dapat rawatan lebih awal.

"Selain itu, orang sekarang 'knowledgeable' sebab mereka boleh google. Lebih baik buat reseacrh yang betul agar filem itu akan diangkat kepada martabat lebih tinggi," katanya.

Untuk rekod, video asal Youtube itu memaparkan sedutan daripada drama Titian Cinta, Dia Imamku, Maaf dari Khilaf, Cinta Koko Coklat dan Filem Munafik 2.

Sementara itu diruangan komen pula, pelbagai komen diterima.

"Bukan tak sokong drama Melayu, tapi memang drama Melayu banyak tekankan kehidupan orang itu, cinta, konflik dan kisah rumah tangga. Bila sampai babak mahkamah, hospital dan sebagainya nampaknya macam mereka tak buat banyak research," tulis Nad Ella.

"Tolong industri lakonan Melayu buat kajian sebelum buat drama atau filem. Jangan bagi maklumat tidak lengkap dan tidak betul kepada penonton. Cadangan juga, bekerjasama dengan doktor-doktor begini sebelum lakukan babak berkaitan kesihatan dan penyakit," tulis Phtovfe.

"Inilah namanya komen membina. Moga penerbit drama dan filem boleh belajar lebih banyak dan mengkaji daripada ahli dibidangnya supaya drama Melayu lebih berkualiti," tulis Nur Syazwani A Aziz.