Hina nabi: UMNO, Pas Selangor buat laporan polis

Kepimpinan sayap Pas, UMNO merakamkan gambar bersama selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6 hari ini terhadap individu yang menghina Nabi Muhammad SAW.
A
A

SHAH ALAM - Kepimpinan sayap UMNO dan Pas Selangor membuat laporan polis hari ini susulan tindakan seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Sebanyak empat laporan dibuat bersama oleh pemimpin Pemuda UMNO Selangor, Pemuda Pas Selangor, Wanita UMNO Selangor dan Dewan Muslimat Pas Selangor di Balai Polis Seksyen 6 hari ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, polis digesa segera mengesan individu terbabit bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil selepas ini.

"Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad ini bukannya perkara baharu dan selepas beberapa ketika ia akan kembali berulang.

"Disebabkan itulah kami gesa supaya tindakan maksimum dikenakan kepada pihak berkenaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai individu tersebut yang menghina agama Islam dan Nabi Muhamad melalui posting yang dimuat naik di laman Facebook 'Kiub Batu Itu Berhala'.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail berkata pihaknya bercadang untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh masa terdekat bagi mengesan pihak berkenaan.

"SKMM perlu kesan pihak terlibat ini kerana ia bukan sahaja mencemarkan agama suci ini malah turut menghina Nabi Muhammad," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 11 NGO lapor polis siasat akaun FB hina Nabi Muhamad SAW


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia