#Undi18 pelengkap pemberdayaan belia

No Image Caption
A
A
A

PADA tahun 1996, ketika menterjemah ucaptama tentang youth empowerment yang saya sampaikan di sebuah persidangan antarabangsa anjuran Program Belia Komanwel, saya dapati istilah bahasa Melayu untuk empowerment yang digunakan pada masa itu, iaitu ‘pengupayaan’, tidak tepat.

Justeru, saya mencipta istilah baharu, iaitu ‘penghakupayaan’. Kini, saya menggunakan istilah yang dipinjam dari Indonesia, iaitu ‘pemberdayaan’.

Pemberdayaan belia ialah ‘belia membuat keputusan dan mengambil tindakan sendiri/bebas atas apa-apa yang berkaitan tentang dirinya, keluarganya, persekitarannya dan masa depannya’.

Sejak 1990-an, soal pemberdayaan belia menjadi tajuk besar dalam hampir semua perbincangan tentang belia, terutamanya tentang gerakan belia, dan sering diungkapkan para pejuang dan aktivis belia.

Pada 1997, sebagai penderaf Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN), iaitu bagi menggantikan Dasar Belia Negara (DBN) yang pertama, iaitu yang digubal pada 1985, saya memastikan pemberdayaan belia menjadi tema utamanya.

Saya juga mencadangkan agar definisi belia yang digunakan pada masa itu, iaitu ’15-40 tahun’, diubah kepada ’15-35 tahun’.

Tetapi cadangan ini ditolak. Sebagai kompromi, definisi ’15-40 tahun’ dikekalkan, tetapi diwujudkan kumpulan umur yang menjadi tumpuan pembangunan belia, iaitu ’18-25 tahun’.

Pemberdayaan belia menjadi tema bagi semua dasar dan resolusi antarabangsa. Antaranya ialah ‘Program Belia Tahun 2000 dan Selanjutnya’ oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1995, resolusi Persidangan Pertama Menteri-menteri Belia Sedunia PBB di Lisbon, Portugal, pada 1998 dan dalam perbincangan-perbincangan Panel Tertinggi Setiausaha Agung PBB Tentang Pekerjaan Untuk Belia pada 2000-2002.

Artikel Berkaitan:

Pemberdayaan belia menjadi tema dalam inisiatif-inisiatif pembangunan belia negara.

Contohnya, memasukkan mahasiswa sebagai anggota Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), serta mewujudkan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Parlimen Mahasiswa dan Parlimen Belia.

Janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun – #Undi18, adalah selari dengan definisi baru belia, iaitu ’15-30 tahun’, dan kedua-duanya adalah kesinambungan pendekatan pemberdayaan belia.

Apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, ia hasil kerja keras Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan keputusan politik yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

#Undi18 adalah keazaman politik yang berani oleh PH. Ini tidak berlaku pada zaman pentadbiran BN.

Kelak, ia akan susuli dengan pindaan dan/atau pemansuhan beberapa undang-undang berkaitan pilihan raya dan belia/mahasiswa, contohnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

#Undi18 antara tanda aras yang menunjukkan Malaysia memasuki fasa ketiga demokrasi. Fasa pertama demokrasi ialah ketika kita mula-mula mengamalkannya. Fasa kedua ialah proses memperkasa institusi-institusi demokrasi. Manakala fasa ketiga ialah meluaskan partisipasi rakyat dalam membuat keputusan.

Tetapi, #Undi18 bukan sekadar soal demokrasi dari sudut mengundi dan pilihan raya semata-mata.

Ia juga soal demokrasi dari sudut pemberdayaan belia. Kerana pemberdayaan belia adalah sebahagian daripada demokrasi.

Pemberdayaan belia mesti bermula dengan pandangan sarwa yang tepat, iaitu, bahawa belia bukan hanya pemimpin masa depan, tetapi adalah juga pemimpin hari ini.

Pada hari ini, belia pemimpin dalam tiga kategori, iaitu: sebagai pemimpin generasi yang lebih muda; sebagai pemimpin angkatannya; dan – ini yang kurang difahami ramai – sebagai rakan-kepimpinan bersama-sama generasi yang lebih tua.

Dari sinilah munculnya soal ‘belia bukan hanya penerima manfaat pembangunan, tetapi adalah juga penyumbang terhadap pembangunan’ dan penolakan bidalan ‘orang tua lebih banyak makan garam’ yang diberi tafsiran yang mengongkong atau memperlekeh belia.

Pemberdayaan belia mesti diletakkan dengan tepat dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam semua bidang dan di semua peringkat.

Di sinilah relevannya pendekatan konsultasi antara tiga sektor utama bernegara, iaitu kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil, di mana belia adalah sebahagian daripada masyarakat sivil.

Apabila memilih perwakilan belia untuk menganggotai struktur dan menyertai proses membuat keputusan (yang disentuh di atas), maka, ia harus menepati dua syarat.

Pertama, ia mesti dipilih melalui proses demokratik. Contohnya, mewakili organisasi atau platform belia yang sah dan terbuka. Kaedahnya pelbagai.

Apa yang penting ialah ia bukan penonjolan diri secara individu atau mewakili kelompok yang sempit atau kekeluargaan, atau dipilih oleh kerajaan atau mana-mana pihak bukan-belia.

Dan kedua, ia mesti melibatkan partisipasi penuh. Maksudnya, bab berkaitan belia mesti ada dalam agenda (mesyuarat, persidangan dan sebagainya) yang melibatkan perwakilan belia tersebut, dan perwakilan belia tersebut mesti diberikan peranan yang saksama, contohnya, hak bersuara dan membuat keputusan/mengundi.

Partisipasi penuh juga membawa maksud bahawa belia sentiasa diberikan fokus, iaitu ia tidak menjadi fokus yang bermusim, contohnya pada masa tertentu sahaja, seperti pada Hari Belia, apabila ada acara-acara keramaian dan semasa kempen pilihan raya.

Perkara yang sama pentingnya ialah kaedah komunikasi yang sesuai dengan belia, iaitu yang berorientasi-belia. Contohnya, kaedah komunikasi yang baik ialah ‘bercakap dengan belia’, dan bukannya ‘bercakap kepada belia’.

Semua ini tidak akan mencapai matlamatnya selagi makna pemberdayaan belia tidak difahami dan diamalkan dengan sepenuhnya. Kurangnya kefahaman ini dapat dilihat dalam banyak keadaan.

Ini termasuklah di Dewan Rakyat ketika usul #Undi18 didebatkan. Terdapat beberapa orang Ahli Parlimen, yang meskipun bangun menyokong #Undi18, tetapi, dalam ungkapan-ungkapannya, terselit perkataan-perkataan, ayat-ayat atau pendapat-pendapat yang berlawanan atau tidak selari dengan pemberdayaan belia.

Dalam keadaan yang lain, ada pula mereka yang menggunakan istilah pemberdayaan belia, tetapi, huraiannya tidak menunjukkan yang mereka benar-benar membawa makna pemberdayaan belia.

Terdapat kekeliruan, manipulasi dan eksploitasi tentang pemberdayaan belia. Ia ditimbulkan oleh pihak tertentu, sama ada dengan secara langsung atau tidak langsung, dengan sengaja atau tidak sengaja, dan dengan berselindung atau terbuka.

Berikut disenaraikan tujuh contoh kekeliruan, manipulasi dan eksploitasi tersebut:

- Memberikan tugasan kerajaan/politik, perniagaan, masyarakat sivil dan sebagainya kepada belia. Ini dumping.

- Melantik belia sebagai wakil kepada kerajaan/politik, perniagaan, masyarakat sivil dan sebagainya. Ini delegation.

- Menyerahkan kuasa kerajaan/politik, perniagaan, masyarakat sivil dan sebagainya kepada belia tanpa had atau kebertanggungjawaban. Ini anarki.

- Mengundang belia untuk membantu membuat keputusan kerajaan/politik, perniagaan, masyarakat sivil dan sebagainya. Ini pengurusan partisipatif.

- Kerajaan/politik, perniagaan, masyarakat sivil dan sebagainya menggunakan belia untuk memajukan sesuatu program atau objektif tanpa belia mengetahui tentang apa yang disertainya. Ini manipulasi.

- Belia terlibat tetapi tidak dapat membuat keputusan tentang tujuan, cara atau tahap penglibatannya itu. Ini tokenism.

- Belia dilibatkan untuk mewajarkan sesuatu program itu disertai belia atau dinamakan sebagai program belia. Ini kosmetik atau window dressing.

Semoga #Undi18 menjadi katalis buat pemahaman dan perlaksanaan pemberdayaan belia dengan cara yang lebih sempurna.

*Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)