Suami isteri peka, bisu teruja jadi duyufurrahman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MAKKAH - Kekurangan yang dihadapi suami isteri Ibrahim Ahmad, 62, dan Azizah Mat Zain, 54, dari Alor Setar, Kedah tidak mematahkan semangat mereka untuk memasang impian menunaikan haji dan pada musim haji ini, impian mereka menjadi nyata.

Lebih indah lagi, perjalanan mereka berdua yang pekak dan bisu sebagai duyufurrahman atau tetamu ALLAH, turut ditemani kakak kepada Ibrahim iaitu Aazinah Ahmad, 68.

"Dapat tahu kami bertiga dapat pergi (menunaikan haji) pada bulan satu (Januari) lepas, saya bukan pengiring mereka cuma alhamdulillah...ALLAH beri nikmat kami pergi bertiga tahun ini. Gembira tidak terkata dapat menunaikan haji tahun ini.

"Mereka tidak risau apa nak pergi, cuma tidak sabar nak pergi, selalu tanya saya bila saya nak pergi. Tidak susah mana nak jaga adik saya dan isterinya ini, mereka pandai... boleh baca peta, menulis, semua pandai,” kata Aazinah pada sidang media di sini hari ini.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan 16,628 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas TH.

Lebih menarik, Aazinah yang tidak pernah belajar bahasa isyarat, mampu berinteraksi dengan baik dengan Ibrahim dan Azizah, yang bekerja sebagai penoreh getah, bagi mendapatkan jawapan dikemukakan pemberita sepanjang sidang media itu berlangsung.

"Saya belajar sendiri bahasa isyarat kampung sahaja, tiada belajar mana-mana tetapi sudah lama dah komunikasi jadi dah jadi biasa. Depa dua ni memang tidak boleh dengar dan cakap sejak lahir lagi," katanya.

Aazinah berkata dia tinggal berjiran dengan Ibrahim serta Azizah yang mempunyai dua anak angkat di Pokok Sena, dan dia sendiri mempunyai tujuh anak manakala suaminya meninggal dunia kira-kira 10 tahun lepas.- Bernama

Artikel Berkaitan: