Suri rumah kematian suami terima faedah Perkeso

Mohd Azran menyerahkan baucer kepada Azliana dalam kunjungan berkenaan.
Mohd Azran menyerahkan baucer kepada Azliana dalam kunjungan berkenaan.
A
A
A

GUA MUSANG - Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Krai menyerahkan baucer Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada suri rumah yang kehilangan suami dalam kemalangan 12 Julai lalu.

Allahyarham Muhammad Saiful Ab Rahman, 36, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 meninggalkan seorang isteri, Nor Aziana Azaha, 28, dan tiga anak, Nur Damia Maisarah, 11, Mohd Danny Irfan, 7 dan Nur Daliya Raisyha, 2 tahun.

Dalam kejadian di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Hentian Rawat dan Rehat, Rantau Manis, arwah yang menunggang motosikal jenis Yamaha terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori.

Menurut Azliana, dia terharu dengan keprihatinan Perkeso yang hadir ketika dia buntu memikirkan nasibnya dengan anak-anak kerana selama ini arwah yang bekerja menyara keluarga.

"Saya tidak bekerja dan dua anak saya masih bersekolah. Sebelum ini, arwah bekerja untuk keluarga sebagai pemandu van roti.

"Arwah bekerja dengan syarikat berkenaan sejak lima tahun lalu dan menghantar roti di sekitar kawasan Paloh dan Chiku. Alhamdulillah, selain baucer, saya juga turut menerima pencen penakat bermula awal bulan depan. Terima kasih Perkeso," katanya.

Turut hadir Pengurus Pejabat Perkeso Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri.

Menurut Mohd Azran, melalui semakan caruman, waris arwah layak menerima faedah Perkeso di bawah Skim Keilatan iaitu Faedah Pencen Penakat sepanjang hayat bersama syer tiga orang anak mereka.

Artikel Berkaitan:

"Faedah ini akan diteruskan sehingga anak-anak berumur 21 tahun atau sehingga mendapat ijazah pertama sekiranya menyambung pengajian. Pencen Penakat bakal diterima oleh isteri arwah sebanyak RM1,272 sebulan dan bayaran akan bermula pada 1 Ogos depan," katanya.