Harga minyak turun: Rafizi puji Guan Eng

Ciapan Rafizi di laman mikro Twitter miliknya susulan pengumuman Menteri Kewangan, petang tadi.
Ciapan Rafizi di laman mikro Twitter miliknya susulan pengumuman Menteri Kewangan, petang tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memuji Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana pantas bertindak mengumumkan kerajaan akan menurunkan harga minyak bermula 1 Januari 2019.

Menerusi ciapan di Twitter beliau, Rafizi menjangkakan harga petrol RON95 berada pada kadar RM1.90 dan jika harga minyak mentah menurun, harganya akan turun secara mingguan.

“Tahniah Lim Guan Eng - cepat bertindak. Harga RON95 untuk Januari, InsyaALLAH RM1.90 dan kalau harga minyak mentah turun lagi, turun secara mingguan.

“Kalau naik (harga petrol meningkat), kekal di RM2.12 sebab kerajaan beri subsidi,” katanya.

Dalam ciapan berbeza, Rafizi berkata, kaedah penentuan harga secara mingguan adalah kaedah terbaik.

“Ini kaedah terbaik: semak mingguan supaya kalau harga turun, rakyat dapat serta-merta.

“Dan sediakan subsidi supaya rakyat dilindungi (bayar RM2.20) kalau harga naik mendadak.

“Ini cara PH, tahniah Lim Guan Eng,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Guan Eng menerusi satu kenyataan mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019.

Menurutnya, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun sekarang.

Jelasnya, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019, membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.