Anggota bomba dilarang keluar kenyataan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota Bomba dan Penyelamat (JBPM) diingatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan di media, media sosial mahupun kenyataan umum yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Pengarah, Datuk Muhammad Hamdan Wahid dalam surat arahannya berkata, semua anggota diminta bersatu padu dan tidak melatah dalam mengharungi episod kedukaan berikutan kehilangan Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Saya amat memahami emosi sekalian, namun ingin saya ingatkan bahawa semua kakitangan JBPM adalah penjawat awam yang masih terikat dengan peraturan yang digariskan oleh Perkhidmatan Awam," katanya.

Menurutnya, insiden terhadap Muhammad Adib telah menimbulkan tekanan yang tinggi selain perasaan geram dan marah dalam kalangan anggota bomba.

"Teruskanlah melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara profesional sejajar dengan nilai teras perkhidmatan kebombaan tanpa menunjukkan sebarang unsur prejudis dan bias," katanya.

Beliau juga turut menasihati agar kesemua anggota bomba membawa obor perpaduan agar JBPM terus dihormati dan menjadi model perkhidmatan awam terbaik.

"Sambil kita meneruskan perjuangan, kita harus sentiasa mengingati rakan kita yang gugur semasa bertugas dan berdoa agar ALLAH SWT menempatkan mereka di kedudukan tertinggi bersama golongan beriman," katanya.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham menjadi mangsa yang terlibat dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, ketika sedang bertugas.