Krisis PKR: Lebih baik berunding demi rakyat

Azmin dan Anuar. (Gambar kecil, Abdul Halim)
Azmin dan Anuar. (Gambar kecil, Abdul Halim)
A
A
A

RAMAI yang berpendapat krisis yang berlaku antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bukan lagi perkara baharu.

Krisis dikatakan berterusan sejak pemilihan parti Ogos tahun lalu itu turut menuntut kebijaksanaan bakal Perdana Menteri kelapan untuk menanganinya.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek bagaimana pun yakin krisis antara kedua-dua pemimpin itu boleh diselesaikan asal tidak ada campur tangan pihak lain.

Adakah krisis yang berlaku antara Anwar dan Azmin ini ibarat red alarm kepada kerajaan?

ABDUL HALIM: Banyak pihak suka membuat spekulasi termasuk memberi pandangan yang baik dan ada yang menyakitkan hati. Namun saya yakin kepimpinan PKR sedang berusaha mendamaikan pihak-pihak yang sedang berselisih faham dalam parti itu.

Jika lihat kenyataan-kenyataan yang dibuat itu mungkin ada yang salah faham dengan maksud yang disampaikan oleh Anwar. Dia tidak memberi kenyataan seperti itu.

Apabila dipetik dan ditulis begitu, mungkin nampaknya kasarlah tetapi tidak semestinya beliau bercakap sedemikian.

Sebaliknya Mohamed Azmin secara sinis menyuruh melihat cermin sendiri. Bagi saya mungkin beliau tidak bercakap perkara itu tetapi ia telah diimplikasikan bahawa Azmin bercakap menyuruh Anwar cermin dirinya sendiri.

Artikel Berkaitan:

Bagi saya apa yang dinyatakan dengan apa yang dilaporkan juga berlaku perselisihan. Kedua-dua pihak perlu duduk dan menyelesaikan perselisihan itu.

Siapa yang boleh mendamaikan kedua-dua tokoh ini? Adakah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad?

ABDUL HALIM: Jika Dr Mahathir, beliau tentu sahaja boleh menasihatkan. Beliau pun memiliki parti yang kecil. Ini antara clash of personality kepimpinan.

Bagaimana pun sebenarnya tidak nampak mereka bergaduh. Ini semua daripada laporan media. Secara profesionalnya, lebih baik biarkan mereka selesaikan masalah mereka sendiri tanpa memandai-mandai.

Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan secara baik.Anwar juga sering mengadakan program rundingan, jadi lebih baik mereka duduk bersama dan bincangkan apakah yang menyebabkan perkara tersebut berlaku.

Rakyat sebagai pemerhati dan tidak mahu mengetahui konflik yang berlaku kerana mereka mahukan kehidupan yang lebih baik. Apa pandangan Prof?

ABDUL HALIM: Rakyat mahukan keharmonian dan keselamatan supaya ekonomi bertambah baik.

PKR perlu menyelesaikan perselisihan dalaman melibatkan dua pemimpin utama mereka itu secepat mungkin demi kepentingan rakyat memandangkan hari ini mereka menerajui negara. Itu lebih penting.

Pandai-pandailah mereka berunding antara mereka supaya rakyat mendapat faedah daripadanya bukan mengeruhkan lagi keadaan.

Apa pandangan Prof mengenai keadaan semasa di antara rakyat dan politik?

ABDUL HALIM: Rakyat sebenarnya tidak aktif dalam politik. Rakyat hanya pemerhati dan membaca segalanya dalam semua media sosial.

Dalam media sosial ini pun tidak diketahui kesahihannya, siapa yang melaporkan, berita itu benar atau tidak. Ternyata rakyat membaca dan kumpulan ini tidak aktif dalam politik. Mereka mampu untuk bercerita sahajalah.

Tetapi, pihak yang benar-benar mempunyai hubungan dalam politik perlu sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan mereka termasuklah kelakuan dan tindakan.

Rakyat hari ini mahukan Malaysia maju, ekonomi bertambah baik supaya rakyat akan mendapat manfaat. Mereka disaran tidak membuang masa bercakaran sesama sendiri tetapi mencari formula penyelesaian supaya menerajui negara ke arah yang lebih baik.