PKR Pulau Pinang tetap sokong Anwar

Muhammad Bakhtiar melihat mural berimej ikan laga yang dilukis di Flat Lily hari ini.
Muhammad Bakhtiar melihat mural berimej ikan laga yang dilukis di Flat Lily hari ini.
A
A
A

BALIK PULAU - PKR Pulau Pinang tetap akan memberi sokongan padu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun parti itu kini berdepan dengan kemelut dalaman melibatkan pemimpin atasan.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, beliau menandatangani dokumen bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar selepas sidang media Pengerusi MPN PKR Kedah, Datuk Johari Abdul diadakan semalam.

Menurutnya, PKR Pulau Pinang akan terus menyokong Anwar untuk terus memimpin selepas MPN juga bersetuju untuk menjadikan Ahli Parlimen Port Dickson itu Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya hadir Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 semalam. Malah saya ada tanda tangan petisyen sokongan ke atas presiden cuma saya sampai selepas sidang media diadakan. Saya sokong presiden (Anwar), jangan risau.

"Siapa juga presiden, saya saya sokong. Tak kira siapa, kalau dia presiden, saya sokong. Saya tanda tangan sebagai tanda sokongan terhadap presiden untuk terus memimpin. Majlis Presiden PH pun sudah setuju untuk Anwar menjadi Perdana Menteri ke lapan selepas Mahathir," katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ditemui selepas melawat mural di Flat Lily di sini tadi.

Beliau berkata, beliau terpaksa membahagikan masanya antara program Festival Balik Pulau di sini dengan dan Majlis Pimpinan Pusat PKR kerana festival tersebut dirancang lebih awal iaitu pada awal tahun ini.

"Saya diberi pelepasan oleh Anwar sendiri untuk pulang ke sini untuk menjayakan Festival Balik Pulau ini. Saya rasa, kita tidak perlu mempersoalkan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Kita hanya perlu tumpukan kepada pembinaan negara, bagaimana nak bina pembangunan serta meningkatkan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Anwar pun dah buat kenyataan malah Mahathir juga meminta agar kita jangan terpengaruh dengan beberapa ejen atau pun beberapa isu luar yang mempengaruhi PH. Yang penting, PKR yang merupakan komponen parti yang terbesar dalam PH tetap utuh. Jika PKR rapuh dan terbahagi dua, maka ia akan melemahkan PH," katanya.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata, PKR harus bersatu dalam menangani isu yang melanda parti itu dengan profesional.

"Saya minta polis pun profesional dalam menangani isu ini dan berharap tidak ada kepentingan politik yang lain yang mahu mengganggu perjalanan politik di negara kita. PH masih kuat yang mana, kita telah buat pelbagai perubahan sejak memerintah negara.

"Rakyat telah memberi kepercayaan kepada PH untuk memimpim Malaysia dan saya rasa kita kena teruskan memenuhi semua harapan rakyat yang telah dijanjikan. Kalau PH kuat, insyaAllah kita utuh dan boleh bertahan lebih lama lagi. Saya juga berharap agar kemelut ini akan berakhir," katanya.

Sehingga semalam, enam daripada Pengerusi MPN PKR negeri sudah menandatangani dokumen sokongan itu bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk memimpin parti itu.

Jumlah tanda tangan diterima itu sekali gus menunjukkan sokongan penuh daripada pemimpin PKR negeri terhadap Anwar walaupun terdapat khabar angin mendakwa berlaku perpecahan dalam parti itu susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.