Penduduk bimbang bekalan air belum pulih

Penduduk mula menyimpan air susulan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak semalam.
A
A

AMPANG - Penduduk di sekitar kawasan Ampang yang terjejas dengan gangguan air disebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 sejak semalam mula menyatakan kebimbangan susulan ketiadaan bekalan air berterusan sehingga hari ini.

Setakat jam 1 tengah hari, beberapa kawasan masih menghadapi gangguan air termasuk Ampang Campuran dan Kampung Melayu Ampang.

Penduduk di Ampang Campuran, Zulhayati Yazid, 38, berkata, rumahnya terputus bekalan air sejak jam 8 malam tadi dan kini bergantung dengan simpanan air yang dibuat sebaik dimaklumkan gangguan air oleh pengurusan sekitar jam 12 tengah hari semalam.

"Saya terus tadah air sebaik dimaklumkan mengenai gangguan air kerana bimbang tempohnya lama akan mengganggu urusan harian di rumah.

"Saya turut menjaga bapa yang uzur, jadi bekalan air memang sentiasa kena ada," katanya.

Simpanan air di rumah Ismail yang dibuat susulan insiden paip pecah sebelum gangguan kali kedua disebabkan henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 sejak semalam.
Simpanan air di rumah Ismail yang dibuat susulan insiden paip pecah sebelum gangguan kali kedua disebabkan henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 sejak semalam.

Dia berharap bekalan air dapat pulih segera memandangkan simpanan air di rumahnya semakin berkurangan.

"Kebetulan hari ini pula cuti hujung minggu, ramai saudara-mara berkumpul di rumah untuk sama-sama menjaga bapa yang uzur," katanya.

Sementara itu, penduduk di Kampung Melayu Ampang, Ismail Hassan, 70, berkata, rumahnya masih ada bekalan air tetapi agak perlahan.

"Saya dah tadah air sejak dua hari lepas selepas ada masalah paip pecah. Tidaklah terputus terus bekalan cuma air yang keluar perlahan.

"Harap air kembali seperti sedia kala bagi memudahkan urusan harian kerana apabila cuti hujung minggu anak cucu berkumpul di rumah, tiada bekalan air menyukarkan urusan memasak dan solat," katanya.

Ketiadaan air menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan air seminimum mungkin bagi mengelak terputus bekalan sebelum gangguan air pulih sepenuhnya.
Ketiadaan air menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan air seminimum mungkin bagi mengelak terputus bekalan sebelum gangguan air pulih sepenuhnya.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 terlibat henti tugas selepas terdapat pencemaran bau dikesan pada sumber air mentah Sungai Selangor.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan terbaru jam 1 tengah hari tadi memaklumkan proses pemulihan bekalan air kini di tahap 59 peratus.

Hulu Selangor mencatatkan status pulih seratus peratus, Kuala Selangor 96.1 peratus, Gombak 90.5 peratus, Petaling 55.2 peratus, Klang/Shah Alam 50.8 peratus, Kuala Lumpur 41.1 peratus dan Kuala Langat dengan kosong peratus.

Pusat Khidmat Setempat dan pili awam diaktifkan selain 18,000 air botol lima liter diedarkan kepada penghuni rumah bertingkat.