Bersatu jangan jadi seperti UMNO: Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto BERNAMA
A
A

SERDANG - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin parti itu agar tidak menjadi seperti UMNO lari daripada perjuangan asal mereka.

Katanya, jawatan yang diamanahkan dalam parti bukan untuk diri sendiri sebaliknya demi agama, bangsa serta negara.

"Parti UMNO itu tidak salah kerana sejarah awal perjuangannya adalah untuk agama, bangsa dan negara. Mereka berjaya tetapi pemimpin mereka lama kelamaan hanya berjuang untuk tembok sendiri.

"Apabila kita mengutamakan diri sendiri, rakyat akan menolak. Kita sendiri telah melihat UMNO ditolak oleh rakyat sehingga tersungkur pada pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Cuba kalau dalam kempen pilihan raya kita kata undilah saya supaya dapat menjadi wakil rakyat, pastinya tidak ada yang menyokong kita. Tetapi kalau kita minta sokongan supaya dapat memperjuangkan mereka, kita akan memperoleh sedikit nikmat daripada situ dan rakyat lebih lagi," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara sebab lain UMNO ditolak rakyat ialah kerana sikap pimpinan di pelbagai peringkat yang menghalang ahli yang lebih bijak daripada menganggotai jawatankuasa parti.

"Sebagai contoh bila diwujudkan satu cawangan, ahli yang menjadi ketuanya tidak berminat melihat orang lebih cekap daripadanya menyertai jawatankuasa.

"Ketua Cawangan tidak benarkan orang yang lebih pandai daripadanya. Mereka yang boleh menyertai cawangan itu ialah orang kurang cerdik daripadanya. Tetapi kita tidak hidup selama-lamanya dan penggantinya sudah pasti orang yang kurang cerdik daripadanya dan begitulah kitaran," katanya.

Dr Mahathir menyatakan beliau bernasib baik kerana diberikan kesempatan melihat perkembangan politik dalam dan luar negara selama 70 tahun.

"Saya perhatikan individu yang pada awalnya memperjuangkan kemerdekaan dan apabila berjaya, mereka lupa diri. Mereka lupa diri apabila diberikan jawatan dan mahu mengekalkannya. Bila mahu kekalkan jawatan, pelbagai cara digunakan," katanya.