Bekalan air di KL, Selangor pulih 59 peratus

Abdul Raof Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air yang terjejas di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat sejak semalam kini pulih mencapai tahap 59 peratus hingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, setakat ini hanya gangguan bekalan air di Hulu Selangor sudah pulih sepenuhnya.

Menurutnya, bagi kawasan Kuala Lumpur peratus pulih mencapai tahap 41.1 peratus; Petaling (55.2 peratus); Klang/Shah Alam (50.8 peratus); Kuala Selangor (96.1 peratus) dan Gombak (90.5 peratus).

“Ketika ini 9,571 akaun pelanggan di kawasan Kuala Langat masih belum menerima bekalan semula sehingga jam 12 tengah hari tadi.

“Pihak kami sedang meningkatkan usaha menstabilkan aliran dan tekanan di sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air keseluruhan kawasan.

“Pelanggan di kawasan yang telah pulih dan mendapat bekalan diminta menggunakan air dengan berhemat dan elak pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Raof berkata, bantuan bekalan melalui lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas.

Katanya, pihaknya mengaktifkan pusat khidmat setempat (PKS) dan pili-pili awam di beberapa lokasi terpilih.

“Selain itu, edaran sebanyak 18,000 air botol 5 liter kepada pelanggan di kediaman bertingkat akan dilaksanakan.

“Pelanggan boleh mendapatkan maklumat dan status terkini pelanggan dengan melayari laman sesawang www.syabas.com,my, Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor atau hubungi di talian 15300.

“Bagi kes-kes kecemasan, pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019281 6793/019280 0919,” katanya.

Terdahulu empat loji rawatan air (LRA) termasuk LRA Fasa 1, LRA Fasa 2 dan LRA Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor semalam.

Sebanyak 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas susulan operasi empat loji terbabit dihentikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja pembaikan LRA Sungai Selangor 1 Selasa ini ditangguh