Kerja pembaikan LRA Sungai Selangor 1 Selasa ini ditangguh

Suhaimi (dua dari kanan) ketika memberi penerangan berhubung pencemaran bau yang berlaku di LRA Sungai Selangor hari ini.
Suhaimi (dua dari kanan) ketika memberi penerangan berhubung pencemaran bau yang berlaku di LRA Sungai Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja pembaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 yang dijadualkan pada Selasa depan akan ditangguhkan susulan daripada insiden pencemaran bau di sumber air mentah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamarulzaman berkata, pencemaran di LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 itu dikesan antara jam 2 hingga 2.30 petang tadi di mana bacaan direkodkan ada 4 ton.

Menurutnya, memandangkan insiden ini melibatkan henti tugas tiga loji utama dengan skala kawasan yang besar, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah (ERP Kod Merah).

"Pada jam 5 petang kadar bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 3 mencatatkan bacaan bau ton sifar dan telah kembali beroperasi manakala LRA 1 dan 2 baru sahaja mencatatkan ton sifar pada jam 7 petang tadi.

"Ekoran insiden ini, perancangan bagi kerja-kerja pembaikan LRA Sungai Selangor Fasa 1 yang dijadualkan pada Selasa depan ditangguhkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan seramai lebih sejuta pengguna melibatkan 1,133 kawasan sekitar Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat dijangka bakal terjejas ekoran insiden yang berlaku ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, pihaknya juga telah memaklumkan insiden ini kepada kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Kami juga telah berhubung dengan Unit Bencana Negeri bagi membantu menangani permasalahan ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga loji rawatan air ditutup ekoran pencemaran bau

Artikel Berkaitan: