UMNO harus pelajari daya tahan luar biasa Pas: Zahid

Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama penduduk di Bukit Marak hari ini.
A
A

KOTA BHARU - UMNO mengakui harus belajar dari Pas yang mempunyai daya tahan luar biasa sebagai pembangkang di peringkat nasional lebih 60 tahun.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN tidak pernah mempunyai pengalaman pembangkang di peringkat nasional selama ini.

Beliau berkata, tanpa kekuasaan, infrastruktur politik dan sumber kewangan yang terhad Pas masih mampu bertahan sehingga kini di peringkat nasional, negeri dan kawasan.

"UMNO dan BN tak pernah ada pengalaman luar biasa sebagai pembangkang peringkat nasional, namun ia tak bermakna kita tak ada daya tahan. Mungkin Pas juga boleh belajar dari BN sebagai kerajaan mentadbir negara lebih 60 tahun di semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Proses pembelajaran timbal balas ini boleh diterjemah dalam pelbagai bentuk sementelah pertama kali piagam kerjasama ini akan ditandatangani dan diterjemah dalam perlaksanaan sesingkat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra di kediaman Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa di Bukit Marak hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; ADUN Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad; Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan beberapa kepimpinan Pas Kelantan.

Ahmad Zahid berkata, apa yang penting ialah ibrah atau pengajaran di atas kekalahan ini yang akan membuka kekuatan bagi kedua parti bumiputera terbesar di negara ini.

Beliau juga yakin UMNO piagam kerjasama dengan Pas akan berkekalan dan tidak akan dikhianati.