Ketua Cabang punca Pengerusi PKR Johor letak jawatan?

Hassan Abdul Karim
A
A

JOHOR BAHRU - Dakwaan peletakan jawatan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Hassan Abdul Karim baru-baru ini dipercayai kerana desakan kuat ketua-ketua Cabang parti berkenaan dalam dua siri mesyuarat jawatankuasa negeri sejak bulan lalu.

Menurut sumber dalaman parti berkenaan, desakan itu juga dibuat kerana tidak bersetuju dengan pendapat dan pilihan Ahli Parlimen Pasir Gudang berkenaan calon lantikan Pengerusi Jawatankuasa Nasihat Negeri.

“Perkara ini berlarutan sejak mesyuarat jawatankuasa negeri bulan lalu yang mana perbincangannya adalah untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Nasihat Negeri.

“Pada asalnya, lantikan itu mahu diberikan kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tetapi pada mesyuarat baru ini, Hassan mahu Timbalan Pengerusi Negeri, Jimmy Puah Wee Tse memegang jawatan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu kemudiannya menimbulkan kemarahan sebahagian besar ketua cabang negeri dan akhirnya membawa kepada desakan peletakan jawatan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang berkenaan.

“Pengerusi Jawatankuasa Nasihat Negeri ini adalah untuk membuat penilaian bagi lantikan jawatan dalam parti, ia juga berfungsi membantu pemilihan calon pilihan raya umum PRU sehinggalah ke barisan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan di negeri.

“Kedua-dua pihak ada usul sendiri yang ingin dibawa dan akhirnya perkara ini berlaku. Saya juga difahamkan Hassan sudah menghantar surat berhubung peletakan jawatannya ini kepada presiden tetapi belum menerima jawapan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kemelut antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga menjadi punca awal kepada perbalahan terbabit.

“Kalau ikut perkara ini berpunca daripada pemilihan calon sahaja, tetapi kalau tengok dalam lagi, ia disebabkan juga perkara ini (kemelut Anwar dan Azmin).

"Gabungan Ketua Cabang Johor hari ini juga sudah jelas menunjukkan sokongannya kepada Mohamed Azmin.

“Bukan maksud saya ada perbalahan dan parti sedang lemah, cuma ia disebabkan masing-masing mungkin tidak senang duduk terutama ia melibatkan pemilihan calon bagi jawatan-jawatan akan datang,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia