Mengaku zina, pijak al-Quran aibkan Kelantan, kata Imam Tua

Rosli
Rosli
A
A
A

KOTA BHARU - Perbuatan mengaku berzina dan memijak al-Quran seperti yang tular di media sosial semalam amat mengaibkan Kelantan yang dianggap Serambi Makkah.

Imam Tua Masjid Muhammadi, Rosli Che Soh berkata, perbuatan itu sekali gus menghina agama dan boleh merosakkan iman seseorang umat Islam.

Menurutnya, seseorang individu tidak boleh membuka aib orang lain apa lagi membuat pengakuan aib sendiri di media sosial.

“Pengakuan membuat dosa dan pijak al-Quran itu adalah tidak elok kerana ia menghina agama Islam.

"Pengakuan sedemikian hanya boleh dilakukan di mahkamah dan bukan secara santai dihebahkan di media sosial," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, menerusi video tersebut, ia jelas menunjukkan perbuatan daripada anak Kelantan sendiri.

“Ia mengaibkan negeri yang mempunyai ramai alim ulama, mungkin remaja terlibat tidak sangka ia akan jadi begini.

"Sebab itu rakyat Kelantan tidak kira tua atau muda perlu mengaji agama dan tahu batas perkara yang boleh merosakkan iman," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Rosli berkata, jika tidak belajar agama, ia akan memberikan pandangan tiada beza Kelantan yang ramai alim ulama dengan tempat lain.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video tular yang menunjukkan seorang remaja perempuan mengaku berzina dengan memijak kitab dipercayai al-Quran sambil disaksikan dan dirakam beberapa rakannya yang lain.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Tanah Merah dan polis telah menahan empat remaja perempuan untuk membantu siasatan.ARTIKEL BERKAITAN: Biadab, pijak al-Quran bersumpah zina

ARTIKEL BERKAITAN: Pijak al-Quran: Empat remaja perempuan ditahan