Azmin kongsi terjemahan surah An Nur

A
A

SHAH ALAM - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terpalit tuduhan video intim hari ini berkongsi terjemahan potongan surah An Nur di Twitternya.

Ayat ke-12 itu antara lain menyentuh mengenai ‘tuduhan dusta yang nyata’.

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: ‘Ini ialah tuduhan dusta yang nyata’. (An-Nur: 12),” tulisnya yang disertakan dengan tanda pagar #JumaatSA dan #SayyidulAyyam.

Sebelum ini, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui terlibat video intim yang didakwanya bersama seorang menteri kanan.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR telah tampil menafikan beliau terlibat dalam video tersebut.

Konflik video intim semakin berpanjangan apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Mohamed Azmin Ali perlu meletakkan jawatan sekiranya video intim yang didakwa miripnya dibuktikan benar.

Dalam respons kepada Anwar, Mohamed Azmin berkata, Anwar sepatutnya melihat cermin sewaktu menyatakan cadangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan kebarangkalian video intim itu tulen adalah tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin perlu letak jawatan jika video intim sahih, kata Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: Video intim: Azmin suruh Anwar tengok cermin