Murid darjah lima dakwa dipukul ibu rakannya

No Image Caption
A
A
A

CHERAS - Seorang murid darjah lima mendakwa dipukul ibu rakannya sehingga cedera selepas berlaku salah faham antara kanak-kanak itu dengan rakannya awal bulan ini.

Susulan insiden itu, bapa kanak-kanak berusia 11 tahun itu membuat laporan polis pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, berdasarkan laporan berkenaan, seorang lelaki mengatakan dia dimaklumkan oleh anak perempuannya berlaku salah faham dengan rakan sekelas.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa anaknya dipukul seorang wanita iaitu ibu kepada rakan sekelas anaknya di dalam kelas selepas waktu persekolahan di sebuah sekolah terletak di Taman Shamelin, Cheras.

"Anak perempuan pengadu mengalami kecederaan di hidung dan tangan. Pengadu membawa anak perempuannya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, bertindak atas laporan tersebut, pada 7 Julai lalu lebih kurang jam 1 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menahan seorang wanita berumur 45 tahun di rumahnya.

"Suspek kemudian direman dua hari dan diberi jaminan polis selepas tamat tempoh reman.

"Permohonan laporan perubatan mangsa diperlukan untuk melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah laporan perubatan mangsa diperoleh," katanya.

Artikel Berkaitan: