Bekalan air terputus: JANS lapor polis

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membuat laporan polis berhubung lima kejadian melibatkan bekalan air terputus di beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu pada Sabtu lepas.

Pengarahnya Ir Amarjit Singh berkata, laporan itu dibuat kira-kira 11 pagi semalam (Ahad) di Balai Polis Luyang apabila hasil pemeriksaan terhadap keadaan saluran paip di kawasan terjejas mendapati ia seperti perbuatan yang disengajakan.

"JANS telah menjalankan pemerikasaan di kawasan yang terjejas dan mendapati ada saluran paip yang pecah dan injap paip yang ditutup,” katanya pada sidang media di Wisma Muis, di sini hari ini.

Beliau berkata, pada Sabtu lalu, hasil pemeriksaan yang dijalankan JANS mendapati dua saluran paip di Jalan Sulaman sepanjang 450mm dan 700mm didapati telah rosak.

Katanya, JANS turut mendapati dua injap angin di kawasan Lorong Unta dan Lorong Angsa di kawasan Luyang dipercayai turut dirosakkan sehingga saluran paip itu pecah.

“Sementara pada Ahad (semalam) JANS turut menerima satu aduan bekalan air di Luyang Perdana turut terjejas dan selepas pemeriksaan dijalankan mendapati injap optik bekalan air ke kawasan itu seperti sengaja ditutup,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: