Pengurusan dana: SKMM sedia beri kerjasama kepada SPRM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan bertolak ansur dengan salah laku di kalangan pegawainya serta sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses siasatan.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata suruhanjaya itu mengambil maklum serta memandang serius penemuan dan syor-syor yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 1 berhubung pengurusan dana wang kumpulannya.

"Penemuan audit mendapati kelulusan projek-projek atas arahan menteri terdahulu tidak dilaksanakan secara telus kerana dana diluluskan tanpa asas yang jelas. Ini menyebabkan berlakunya perbelanjaan yang tidak menepati keperluan ditetapkan oleh Akta SKMM 1998," menurut kenyataan itu.

Laporan berkenaan yang dikeluarkan Isnin lepas mendapati walaupun Akta SKMM membenarkan arahan menteri untuk melakukan sesuatu perbelanjaan, namun perbelanjaan dilakukan didapati tidak selaras dengan aktiviti utama SKMM sebagai badan pengawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

Ini termasuk perbelanjaan bagi 12 program tanggungjawab sosial korporat SKMM sebanyak RM12.81 juta di bawah arahan menteri terdahulu.

Justeru itu, menurut kenyataan itu, di bawah kepimpinan baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diterajui menterinya Gobind Singh Deo, pelbagai inisiatif pembaharuan bagi penambahbaikan tatacara dan tadbir urus telah dibuat.

Menurut kenyataan itu, antara pembaharuan yang telah dibuat sejak Mei tahun lepas ialah penamatan pelaksanaan program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) bagi pihak menteri, mengemaskini garis panduan sedia ada mengenai had kuasa kewangan dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi sebarang kelulusan projek. - Bernama

Artikel Berkaitan: