Menteri tak patut minta rakannya dipecat

Abdul Aziz (tengah) ketika sidang media sempena program Karnival Santai Anak Perak di Hotel Casuarina@Meru.
Abdul Aziz (tengah) ketika sidang media sempena program Karnival Santai Anak Perak di Hotel Casuarina@Meru.
A
A
A

IPOH - Seorang menteri tidak seharusnya meminta atau mendesak rakan Kabinetnya secara terbuka untuk meletakkan jawatan.

Exco Kerajaan Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, semua menteri tertakluk kepada tanggungjawab secara kolektif dan tidak boleh bercakap sewenang-wenangnya di luar Kabinet.

Beliau berkata, segala keputusan mengenai pelantikan atau pemecatan ahli Kabinet adalah hak penuh perdana menteri.

"Saya harap pihak pimpinan kanan PH supaya tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sampai ke peringkat mengkritik atau meminta supaya meletak jawatan sama ada menteri ataupun pengerusi GLC kerajaan kerana perkara itu akan memberikan kesan negatif kepada rakyat yang saya rasa setakat ini belum puas hati dengan janji-janji PH.

"Seorang menteri tak bolehlah bercakap di luar Kabinet untuk minta kawan dipancung dan sebagainya," katanya kepada pemberita, hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Karnival Santai Anak Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Sebelum ini Syed Saddiq didakwa menjadi dalang dalam penyerahan memorandum bagi mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan, bersama tiga lagi Exco Armada kepada Dr Mahathir.

Namun menurut laporan akhbar tempatan, Syed Saddiq menjadi pemudah cara penghantaran memorandum tersebut secara terus kepada Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Penyerahan memorandum itu antara desakan dan tuntutan selepas Waytha dikatakan gagal meredakan ketegangan kaum dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Abdul Aziz berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti perkara sebenar yang berlaku namun perkara itu harus menjadi pengajaran agar tidak berlaku lagi.

Menurutnya, perbezaan pendapat dalam kerajaan yang bersifat gabungan beberapa parti merupakan perkara biasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, mesej yang disampaikan oleh pihak berkaitan itu sampai sama ada kerajaan patut mengekalkan atau menamatkan jawatan menteri berkenaan.

Katanya, bagaimanapun perdana menteri sudahpun memikirkan semasak-masaknya keputusan yang akan diambil terhadap isu terbabit.