Guna produk tempatan, kata timbalan menteri

Ong Kian Ming
Ong Kian Ming
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggalakkan penggantian import dari Amerika Syarikat dengan produk dari Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi mengurangkan risiko konflik perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan juga menggalakkan penempatan semula pelaburan syarikat-syarikat sasaran yang terkesan berikutan konflik perdagangan dua kuasa besar ekonomi dunia itu.

Beliau berkata, kerajaan juga memudahkan penempatan semula pelaburan dan pengeluaran ke Malaysia bagi syarikat-syarikat besar yang mempunyai operasi sedia ada di China dan Malaysia serta memudahkan pengembangan atau pelaburan semula syarikat-syarikat sedia ada yang beroperasi di Malaysia untuk memenuhi peningkatan import oleh Amerika Syarikat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai langkah-langkah kerajaan untuk menangani kesan daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

Kian Ming berkata, selain program promosi perdagangan dan pelaburan di luar negara, kerajaan juga sedang mengusahakan beberapa inisiatif bagi membantu syarikat atau pelabur asing mencari pengilang kontrak yang bersesuaian di Malaysia untuk pengeluaran produk mereka di Malaysia.

“Selain itu, syarikat-syarikat multinasional yang berpengkalan di Malaysia juga akan dibantu untuk menggantikan import melalui ‘Global Sourcing and Partner Development Programme’,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: