Pertambahan cawangan kukuhkan Proton

A
A

PROTON terus mengembangkan lagi jenamanya sebagai pengeluar automotif yang mempunyai cawangan 3S/4S terbanyak di seluruh negara menerusi pembukaan cawangan baharu di Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.

Perancangan menaiktaraf cawangan berterusan yang bermula April 2018, telah menghasilkan 91 cawangan baharu di dalam rangkaian syarikat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, penambahan cawangan baharu yang dinaiktaraf ditambah pula dengan strategi peningkatan produk, telah menghasilkan penambahbaikan pada persepsi jenama Proton serta angka penjualan yang lebih tinggi.

"Kami gembira dengan kejayaan yang dicapai. Kami dapat melihat perubahan pada pilihan pengguna di mana Proton memperoleh populariti dari segi pilihan jenama.

“Ini telah membawa kepada angka pegangan pasaran sebanyak 18.1 peratus untuk bulan Jun 2019, pencapaian terbaik syarikat sejak Julai 2015,"katanya menerusi kenyataan akhbar selepas perasmian cawangan terbaharu 3S Proton di Lahad Datu.

Perasmian telah disempurnakan Ketua Pengurusan Jualan Proton, N Rajendran dan turut dihadiri oleh barisan Pengarah Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd dan ahli Pengurusan Kanan Proton.

Cawangan 3S Proton di Lahad Datu yang bernilai RM2 juta ini merupakan cawangan kedua oleh Fook Loi Corporation di Sabah, di mana yang pertama telah di buka di Sandakan, tahun lalu.

Cawangan 3S di Lahad Datu ini menampilkan warna identiti korporat baharu Proton yang menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat-alat ganti untuk semua jenis kereta Proton.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Fook Loi, Thomas Chiu Kui Yin, percaya bahawa model baharu serta yang dipertingkatkan merupakan penyumbang kepada pertumbuhan jualan Proton pada 2019.

“Proton sinonim dengan kebanggaan negara dan dengan teknologi baharu yang dipasang, ia kembali menjadi jenama kepercayaan rakyat Malaysia.

“Kenderaan Proton juga kini lebih menarik bagi pembeli kereta khususnya generasi muda, yang boleh membantu membina kesetiaan kepada jenama," katanya.