SIC cadang sambung kontrak MotoGP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) yakin Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) akan terus berada dalam kalendar perlumbaan kejuaraan dunia, walaupun kontraknya akan tamat pada 2021.

Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya berkata perlumbaan November ini, yang merupakan ulang tahun ke-20 sejak mula-mula dianjurkan pada 1999, satu persaingan hebat kepada sirkit itu, dengan sokongan kuat daripada peminat perlumbaan motosikal.

“Kami bercadang untuk menyambung kontrak itu. Kami yakin MotoGP akan terus kekal dianjurkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Azman juga yakin perlumbaan tahun ini dari 1-3 Nov akan menjadi acara yang paling menarik kepada SIC, dengan adanya gabungan pelumba dan pasukan Malaysia (Petronas Yamaha Sepang Racing Team), ia akan melepasi rekod jumlah kehadiran, selepas mencatatkan 169,827 penonton yang menyaksikan acara tiga hari pada tahun 2018, walaupun telah dikenakan cukai hiburan 25 peratus oleh kerajaan negeri.

Penelitian di laman web rasmi SIC, www.sepangcircuit.com menunjukkan tiket telah mula dijual bermula dari RM55 untuk tempat duduk K2 Hillstand hingga RM412.50 untuk Premier Roving, selain Pas Perkampungan VIP MotoGP (untuk dua hari) berharga Eur 1075.90.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan kembalinya Formula One (F1) ke SIC, Azman berkata, sehingga kini tiada perkembangan terbaharu mengenainya.

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo mengesahkan yang syarikat minyak dan gas tersebut, sedang berbincang dengan Dorna (pemegang hak eksklusif pengiklanan dan hak siaran TV MotoGP) untuk terus menjadi penaja utama GP Malaysia, satu perkongsian yang bermula sejak 2009.

“Kami sebagai penaja utama sehingga 2020 dan kami mempunyai pilihan sehingga 2021, kami masih berbincang dengan Dorna mengenai apa yang akan berlaku selepas 2020. Namun pada masa ini, kami menumpukan kepada perlumbaan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedang meningkatkan promosi tahun ini, untuk melihat sama ada kami boleh meningkatkan kehadiran melebihi 200,000. Ya, kami ada perkongsian dengan Ducati (pasukan), tetapi menaja perlumbaan seperti di Malaysia ini, menunjukkan komitmen kami kepada sukan dan juga perkembangan produk kami, kerana kami bukan sahaja mendapat pendedahan di Malaysia, tetapi di seluruh dunia melalui siaran televisyen,” katanya. - Bernama