Bas lantai reput: Pemilik bas sekolah disaman

Keadaan lantai bas yang reput yang dikesan ketika Ops Bas Sekolah yang dijalankan di daerah Marang, Ahad lalu. - Gambar kecil: Zulkarnain
Keadaan lantai bas yang reput yang dikesan ketika Ops Bas Sekolah yang dijalankan di daerah Marang, Ahad lalu. - Gambar kecil: Zulkarnain
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilik sebuah bas sekolah di daerah Marang diarahkan menghentikan perkhidmatan serta-merta bermula 14 Julai lalu selepas didapati bas berkenaan tidak di selenggara dengan baik.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, kesalahan itu dikesan selepas Ops Bas Sekolah yang dilaksanakan sepanjang Julai ini.

“Ketika operasi itu, sebanyak tujuh bas sekolah diperiksa dan bas berkenaan di dapati tidak diselenggarakan dengan baik kerana lantainya didapati reput dan pecah.

“Pemilik bas dikenakan tindakan saman dan diarahkan menyelenggarakan bas serta membuat pemeriksaan di JPJ dan Puspakom sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya ketika ditemui media sempena Karnival Keselamatan Jalan Raya Kadet JPJ Terengganu 2019 di sini hari ini.

Menurutnya, individu yang gagal menyelenggarakan kenderaan berdepan kompaun maksimum sebanyak RM300 dan denda tidak melebihi RM2,000 atau enam bulan penjara jika sabit kesalahan.

Zulkarnain berkata, setakat ini sebanyak 20 bas sekolah diperiksa sepanjang Ops Bas Sekolah membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang.

Katanya, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan secara rambang daripada semasa ke semasa bagi memastikan kesemua kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan pelajar sekolah memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Setakat ini kita mengesan lebih 300 bas yang aktif dan akan terus memantau supaya semua berada dalam keadaan baik,” katanya.

Artikel Berkaitan: