'Jalan terbaik, bercutilah Azmin...'

Abdullah Sani - Foto internet
Abdullah Sani - Foto internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin PKR mencadangkan jalan terbaik untuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdepan siasatan video intim yang didakwa miripnya adalah dengan bercuti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa Timbalan Presiden PKR itu agar mengambil cuti daripada memegang jawatan dalam kerajaan dan parti.

Menurut Abdullah Sani, ia adalah jalan terbaik buat Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagi memastikan tiada campur tangan dalam siasatan terhadap kes video intim yang dikaitkan dengan beliau.

"Sesiapa pun dalam siasatan mesti meletakkan dirinya dalam kategori yang disiasat ia tidak boleh menganggu perjalanan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin perlu letak jawatan jika video intim sahih, kata Anwar

"Ini salah satu jalan terbaik, walaupun Presiden PKR kata teruskan, tapi bagi saya ia lebih sempurna sebab ia didakwa sedemikian rupa... dia perlu mengambil diri dia sebagai orang yang disiasat," kata Ahli Parlimen Kapar itu ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Abdullah Sani, falsafah Pakatan Harapan (PH) menegaskan tiada siapa boleh melangkaui undang-undang.

“Kita tak boleh mengheret sistem yang lama yang ada undang- undang bangsawan, undang-undang rakyat jelata undang-undang terpilih... ini sudah kita tak boleh amalkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdullah Sani berkata, meskipun beliau mempunyai hubungan baik dengan Mohamed Azmin, namun sekiranya melibatkan perkara yang tidak betul, beliau tetap akan melakukan 'serangan'.

“Saya pun baik dengan dia (Azmin) cuma, benda yang tak betul saya serang... saya tak perlu risau pun.

“Saya pun baik dengan Azmin tapi berpegang kepada pentadbiran yang bermoral saya tidak ada pilihan,” katanya.