Buruh dipenjara dua bulan pukul isteri

Tertuduh, Muhammad Fakhri dijatuhi hukuman dua bulan penjara selepas mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, Muhammad Fakhri dijatuhi hukuman dua bulan penjara selepas mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dihukum dua bulan penjara di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya, dalam kejadian Jun lalu.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Muhammad Fakhri Abdul Matin, 44, dari Kampung Setia Jaya, di sini mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 352A Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya, Rosidah Abdul @ Hamzah, 39, yang pada masa itu, mereka dalam tempoh perkahwinan yang sah.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 7.30 pagi, tertuduh memarahi mangsa kerana tidak menggosok bajunya semasa mereka berada di rumah di Kampung Batin Seberang Takir, Kuala Nerus, pada 26 Jun lalu.

Tertuduh mengambil telefon bimbit milik mangsa yang berada di dalam bilik sebelum wanita itu merayu agar dipulangkan telefon bimbit itu tetapi dimaki hamun.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh mencekik leher dan menampar pipi sebelah kanan mangsa tetapi berjaya dileraikan anak sulung mereka yang kebetulan berada di lokasi.

Kira-kira jam 9 malam, hari sama, tertuduh yang baru pulang kerja terus memarahi mangsa kerana mengesyaki isterinya menceritakan hal rumah tangga kepada orang lain.

Tertuduh terus masuk ke dalam bilik sebelum keluar membawa parang panjang dan menghalakan senjata tersebut ke leher dan berkata "kalau aku tetak belakang leher ni, putus agaknya, nak rasa ke" lalu terus meninggalkan rumah.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Batin Seberang Takir, Kuala Nerus, lebih kurang jam 9 malam pada 26 Jun lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.