'Bossku' tak beri impak pada parti

Nazri Aziz -Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Nazri Aziz -Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

NAMA Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kembali ‘panas’ apabila beliau menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, baru-baru ini.

Namun, itulah sikap Mohamed Nazri yang amat terkenal dengan kata-katanya yang lantang tetapi jujur.

Ikuti temu bual Sinar Harian dengan beliau bagi mengetahui pandangannya mengenai isu-isu semasa berkaitan UMNO.

Datuk Seri antara pemimpin yang kurang senang dengan kerjasama UMNO-Pas pada awalnya, tetapi kenapa kini menyokong penuh?

MOHAMED NAZRI: Saya sebenarnya datang daripada keluarga Pas. Jadi saya ada sentimen terhadap Pas daripada dulu lagi. Selepas kita kalah PRU14, saya tak boleh fikir bagaimana nak menang semula.

Apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi usahakan satu kerjasama dengan Pas, saya agak sukar terima pada peringkat permulaan. Ini kerana saya masuk politik dalam BN yang pelbagai bangsa. Tetapi apabila Ahmad Zahid pelopor usaha ini, saya sebagai orang Melayu dan Islam tanya diri sendiri kenapa saya tidak sokong? Adakah kalau saya sokong saya akan jadi rasis?

Namun saya lihat orang Cina perjuangkan sama rata dan ‘keMalaysiaan’, tetapi apabila PRU mereka undi orang Cina.

Jadi kenapa saya perlu bersungguh-sungguh tunjuk saya orang Malaysia dan perjuangkan isu pelbagai bangsa. Sedangkan kalau saya kerjasama dengan Pas, undi parti Melayu dan kemudian menang, tidak timbul isu pun. Sebab itu saya akan tetap sokong kerjasama dengan Pas. Malah saya yakin kerjasama ini akan membuahkan kemenangan dalam PRU15.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri seorang yang setia kepada Presiden parti. Tetapi dengan kedudukan Ahmad Zahid yang terlibat kes mahkamah, di mana relevannya sokongan itu?

MOHAMED NAZRI: Saya lihat tindakan parti politik lain seperti DAP misalnya yang tetap mempertahankan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng walaupun berdepan perbicaraan mahkamah. Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PKR.

Jadi kenapa kita perlu tinggalkan Presiden yang kita pilih jika parti lain pun tidak buat begitu. Tetapi jika sudah didapati bersalah, kena fahamlah.

Di sebalik fenomena Bossku yang dicetuskan Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri dan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil menyatakan rasa tidak puas hati terutama berkaitan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN. Apa mesej yang cuba dibawa di sebalik tentangan ini?

MOHAMED NAZRI: Bagi saya, Najib kena ikut amalan dulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Presiden UMNO,) yang tawar diri untuk berundur apabila kali pertama pembangkang dapat 40 kerusi dalam Parlimen.

Dr Mahathir takut jika beliau teruskan, parti akan terjejas. Tun Abdullah Ahmad Badawi juga mengambil tindakan sama untuk berundur.

Tetapi pada PRU13, jumlah kerusi kita jatuh lagi di bawah Najib. Kalau ikutkan amalan, Najib kena turun tetapi beliau tak pernah tawar diri untuk undur. Beliau teruskan dan kita kalah teruk pada PRU14. Soalnya, kita mesti sayang parti dan tanya apa kita boleh buat untuk parti.

Fenomena 'Bossku' itu semua langsung tidak beri impak kepada parti tetapi lebih kepada kepentingan dirinya sendiri. Sokongan kepada 'Bossku' tidak boleh diukur sebagai sokongan kepada parti. Kita menang pada tiga pilihan raya kecil lalu adalah kerana kerjasama UMNO-Pas, bukan kerana karakter Najib. Soalan saya kepada Najib, dulu jadi ketua tapi masuk pilihan raya kalah, sekarang jadi penasihat nak buat apa? Nasihat apa nak bagi?

Pandangan Datuk Seri mengenai bekas ahli UMNO yang menyertai Bersatu dan kini mahu kembali ke pangkuan UMNO. Wajarkah UMNO terima mereka semula?

MOHAMED NAZRI: Saya mahu mereka diterima semula kerana kita sudah ada contoh iaitu Tengku Razaleigh Hamzah. Dulu beliau tinggalkan UMNO untuk tubuhkan Semangat 46 dan kemudian sertai semula UMNO. Lagipun, UMNO adalah hak Melayu. Anak-anak Melayu yang lahir di dunia berhak jadi ahli UMNO.

Jangan kita tutup pintu kepada orang yang dah salah langkah ini. Kalau dia dah sedar dan nak balik, biarlah mereka balik.