Penentuan harga petrol secara mingguan lebih baik, telus: KJ

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penentuan harga minyak secara mingguan adalah lebih baik dan telus memandangkan keadaan harga minyak tidak menentu sepanjang masa.

Pandangan itu disuarakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut bersetuju keputusan kerajaan mengembalikan penentuan harga runcit petrol mengikut sistem Automatic Pricing Mechanism (APM).

Menurutnya, beliau juga berharap mekanisme baru APM bermula Januari depan akan didedahkan kepada rakyat supaya lebih mudah untuk rakyat membuat semakan terhadap harga jualan petrol pada masa hadapan.

“Saya juga mahu kerajaan mengumumkan sama ada ditentukan harga siling sebelum subsidi diberi atau tidak.

“Tetapi apa yang pasti, keputusan kerajaan untuk mengembalikan sistem APM mengikut harga apungan semasa menjadi bukti jelas bahawa kaedah yang digunakan BN sebelum ini adalah tepat dan sangat sesuai dilaksanakan,” katanya dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut berkongsi maklumat sudah enam minggu kerajaan mengenakan cukai jualan petrol kepada rakyat, bermaksud sudah enam minggu rakyat membayar lebih berbanding harga pasaran.

Jelasnya, rakyat bukan sahaja tidak mendapat subsidi malah membayar ‘cukai’ pula kepada kerajaan setiap kali mengisi minyak.

“Tetapi rakyat tak boleh mengomel sebab ingat, janji pilihan raya bukan ‘turun’ harga minyak tapi ‘menstabilkan’ harga minyak.

Artikel Berkaitan:

“Jadi walaupun harga minyak di pasaran dunia sudah turun, kerajaan tak perlu turunkan harga petrol di Malaysia sebab janji nak stabilkan sahaja! Kan dah kena,” ujarnya sinis.

Katanya lagi, berdasarkan semakan beliau, harga jualan petrol RON95 bagi minggu ini adalah sekitar RM1.94 manakala bagi tempoh lima minggu sebelum ini, harga jualan RON95 sekitar RM1.95 sehingga RM2.18 sahaja.

“Namun, kerajaan masih tetap membuat keputusan untuk mengekalkan harga jualan RON95 pada kadar RM2.20 walaupun berlaku penurunan harga yang agak ketara bagi tempoh tersebut.

“Sementara menunggu pengumuman harga runcit baharu petrol ‪pada 1 Januari 2019‬, saya berharap Kementerian Kewangan (MOF) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat menjelaskan perkara ini kepada rakyat.

“Berapakah jumlah keuntungan hasil jualan petrol yang telah dikutip oleh kerajaan dari tempoh tersebut sehinggalah sekarang disebabkan oleh perbezaan harga ini,” tegas beliau.

Secara sinis, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia Baharu kerana akhirnya dapat menunaikan janji besar pilihan raya iaitu menstabilkan harga minyak selain memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Seperti yang kita maklum harga RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter dari Mei sehingga akhir tahun ini. Syukur dapat Kerajaan yang mengutamakan rakyat.

“Ini mestilah sebab kerajaan PH ini menyediakan subsidi yang besar untuk memastikan harga minyak tidak naik, bukan seperti zaman Barisan Nasional!” katanya.